Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu Kelantan mencatatkan jumlah kanak-kanak yang diberikan dos vaksin pertama dan kedua Covid-19 paling rendah di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali, tidak sampai 20 peratus kanak-kanak di negeri itu sudah diberikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

“Sepanjang program vaksiansi Covid-19, negeri-negeri di Pantai Timur merupakan negeri yang tidak dapat memberikan kebenaran yang baik.

“Contohnya di Kelantan hanya 15 peratus, Terengganu 20 peratus, di Sabah 34 peratus. Ini adalah tiga negeri yang paling bawah dalam memberikan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

“Negeri-negeri ini tidak mencapai kadar 50 peratus vaksinasi kanak-kanak,” katanya menjawab soalan lisan kelima Dewan Rakyat hari ini.

Noor Azmi menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PN-Bachok) yang ingin tahu jumlah kanak-kanak yang belum mendapat suntikan vaksin dan apakah langkah-langkah Kementerian untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Menjawab mengenai statistik penerima vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak di negara ini, Noor Azmi berkata, lebih 1.7 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun suudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

“Sejumlah 1,485,265 atau 41.8 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Seramai 1,518,773 belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dan daripada jumlah tersebut 294,750 kanak-kanak belum layak untuk diberikan vaksin kerana belum mencapai umur 5 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette