Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap ketika sesi dialog pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di Philea Mines Resort Seri Kembangan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Penutupan sekolah vernakular hanya akan menimbulkan isu politik dan tidak menjanjikan kejayaan untuk sekolah kebangsaan.

Sebaliknya, penumpuan perlu diberi bagi meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di sekolah Cina atau Tamil apa yang mereka boleh lakukan bukan boleh menolong kejayaan kita, kalau mereka ada kita tak berjaya kalau mereka tidak ada pun kita tak berjaya.

“Apa yang didahulukan, apa yang boleh dibuat keutamaan adalah kita perbaiki sistem pelajaran kita dalam pendidikan kebangsaan.

“Soal ada atau tidak sekolah Cina dan lain-lain itu bukan keutamaan kita, sebaliknya ia akan menimbulkan macam-macam masalah politik,” katanya ketika mengulas isu kewajaran memansuhkan sekolah vernakular pada sesi soal jawab di Persidangan Meja Bulat” Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu.

Perkara itu timbul susulan nasihatnya terdahulu dalam ucap tama di persidangan itu supaya orang Melayu menilai dan mengubah diri sendiri sebelum menggesa orang lain untuk berubah.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyarankan supaya memperbaiki sekolah kebangsaan terlebih dahulu berbanding menutup sekolah vernakular.

“Nak lakukan itu bukan mudah (tutup sekolah vernakular), tapi kalau tanya diri kita di mana kita salah, lebih mudah kita betulkan diri kita dahulu,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang berkata, pelajar bukan Melayu dengan sendirinya akan tertarik untuk menyertai sekolah kebangsaan jika ia menawarkan pendidikan bermutu tinggi.

“Kalau tumpu perbaiki sistem pelajaran sekolah kebangsaan saya yakin kita akan keluarkan penuntut bukan sahaja berilmu tapi tahu cara gunakan ilmu.

“Kita boleh tutup sekolah Cina tapi kalau sekolah kita tak baik tetap tak baik, kita masih di tahap itu sedangkan mereka ada cara teruskan pelajaran dalam bahasa mereka.

“Sekarang mereka boleh ke negara China belajar di sana. Kalau kita tutup tak bermakna mereka sudah kalah dengan kita, yang boleh beri kemenangan kepada kita adalah perbaiki sistem pelajaran kita,” katanya.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai sekolah wawasan menggabungkan tiga jenis sekolah di dalam satu kawasan yang pernah dicadangkannya sewaktu menjadi perdana menteri.

Beliau menaruh keyakinan bahawa sekolah wawasan dapat memupuk perpaduan sekiranya dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa sama beliau percaya sekolah kebangsaan juga mampu berbuat demikian jika mutunya ditingkatkan.

“Sekolah wawasan itu hanya ada satu kampus dan tiga jenis sekolah. Sekurang-kurangnya penuntut dapat bersama di perhimpunan mendengar tajuk yang sama, itu permulaan.

“Jika sekolah kebangsaan ini begitu baik, saya yakin kalau mereka begitu baik Cina pun pergi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast