Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak agar terus komited menyelamatkan spesies Harimau Malaya.

Baginda bertitah, tanpa penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi hidupan liar dan kawasan hutan yang sewajarnya, spesies itu akan semakin terancam.

“Malah, Harimau Malaya disenaraikan dalam kategori sangat terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bai Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

“Kita memerlukan agensi kerajaan yang bersikap tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya.

“Peruntukan undang-undang untuk melindungi hutan simpan juga penting untuk manusia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kini terdapat kira-kira 150 ekor harimau Malaya di negara ini dan bilangannya semakin merosot setiap tahun berikutan pemburuan haram dan kemusnahan habitat haiwan tersebut.

Sementara itu, menurut baginda, penguatkuasaan undang-undang dapat membantu memulihara sumber tadahan air serta mengurangkan implikasi banjir kepada petempatan manusia.

“Justeru, saya menggesa kerajaan negeri saya untuk menjalankan amanah dalam menegakkan undang-undang in bagi manfaat semua,” tambahnya.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal menitahkan agar kerajaan negeri meningkatkan keluasan kawasan hutan setiap tahun.

“Negeri Pahang mempunyai keluasan hutan yang besar, iaitu kira-kira 57% daripada keluasan negeri, menyediakan habitat yang sesuai untuk pembiakan harimau dan jauh daripada petempatan manusia.

“Sekiranya kita dapat bekerjasama untuk memastikan kesinambungan populasi Harimau Malaya ini, populasi harimau bukan sahaja akan bertambah, malah kita sebenarnya juga berjaya melindungi hutan yang banyak menyimpan khazanah biodiversiti dan fungsi ekosistem yang penting, lebih-lebih lagi di Negeri Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette