KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meluaskan lagi pegangan dalam industri perhotelan melalui anak syarikatnya, Grand Borneo Hotel Sendirian Berhad (GBHSB) yang menerima tawaran daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menguruskan resort-resort milik mereka.
Pengurus Besar GBHSB, Azhar Sanusi berkata, menerusi tawaran yang diterima daripada TM itu, ia bakal menguruskan tambahan lima resort baharu yang dijangka memulakan operasi pada Oktober 2022.
Katanya, dengan tambahan resort yang diuruskan, GBHSB juga tampil dengan lebih banyak pilihan menarik buat bakal pengunjung dengan konsep yang berbeza mengikut lokasi dan fasiliti yang disediakan.
“Resort-resort tersebut akan dijenamakan semula sesuai dengan prestij yang dibawa nama Felda dan TM secara amnya.
“Resort-resort yang terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Cameron Highlands, Pahang; Fraser’s Hill, Pahang dan Kundasang, Sabah akan diuruskan oleh pihak Grand Borneo Hotel dalam merancakkan lagi industri pelancongan tempatan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, tawaran yang diterima itu juga mampu melonjakkan kedudukan kumpulan lantas merealisasikan aspirasi dan visi untuk menjadikannya sebagai peneraju perhotelan secara profesional.
Katanya, jaringan kerjasama itu juga dapat mengukuhkan hubungan antara Felda dan TM yang pastinya akan mengorak langkah bagi sinergi yang memberi keuntungan untuk kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette