Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiga bulan lebih awal tarikh pembubaran Parlimen.

Naib Ketuanya, Muhamad Fadzil Ahamad berkata, ia selari dengan keputusan Parlimen semalam yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Setelah RUU Anti Lompat Parti yang dianggap mampu mengembalikan keyakinan rakyat untuk keluar mengundi berjaya diluluskan di Dewan Rakyat lewat petang semalam.

“Jadi pengumuman awal tarikh pembubaran Parlimen juga wajar dijadikan amalan baharu dalam menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Tambahnya, langkah itu bukan sahaja memberi masa yang selesa kepada semua parti politik bertanding, bahkan memudahkan rakyat merancang perjalanan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurutnya, amalan pengumuman pembubaran Parlimen yang dibuat pada saat akhir oleh seorang Perdana Menteri tidak lagi wajar diteruskan.

“Apatah Perdana Menteri hari ini dilihat kuat diasak oleh partinya sendiri untuk segera membubarkan Parlimen tanpa mengambil kira kesediaan dan sentimen semasa rakyat umumnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast