JAS negeri mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas dua buah kilang memproses ikan di Butterworth, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 ke atas dua buah kilang memproses ikan di Limbungan Chain Ferry, Butterworth di sini, semalam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kompuan itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati kedua-dua premis berkenaan gagal menguruskan buangan terjadual hingga menyebabkan berlaku pencemaran bau.

Jelas beliau, kegiatan dua premis tersebut terbongkar selepas pihaknya menerima aduan bau busuk daripada penduduk Taman Limbungan Indah, di sini sebelum turun ke lapangan untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemantauan dan siasatan pihak kami mendapati aduan penduduk adalah berasas dan jarak antara penduduk taman dengan kilang memproses ikan itu adalah sekitar 30 meter.

“Malah, operasi kilang itu memberi kesan bau apabila angin bertiup ke arah kawasan perumahan terbabit.

“Susulan itu, tindakan kompaun berjumlah RM10,000 dikenakan ke atas dua kilang tersebut atas kesalahan gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 juga diambil supaya pihak kilang mengambil tindakan segera bagi mengawal pencemaran bau akibat kegiatan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast