Yitzhak Shamir. Foto BBC

UNDANG-undang anti-lompat parti sudah ada di Israel sejak tahun 1991.

Undang-undang ini diwujudkan selepas kontroversi yang dikenali sebagai ‘the stinking trick’ yang menyebabkan tumbangnya Kerajaan Perpaduan Likud-Alignment selepas beberapa ahli Knesset (parlimen Israel) melompat parti dan menyokong undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Kontroversi ini tercetus apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), James Baker mengusulkan pelan damai Israel-Palestin (Baker’s Plan). Shimon Peres, ketua parti Alignment mendesak Yitzhak Shamir, ketua parti Likud dan Perdana Menteri pada ketika itu untuk menerima pelan damai tersebut. Jika tidak, parti beliau akan menarik sokongan daripada kerajaan.

Shamir menolak pelan damai tersebut, memecat Peres dan semua menteri dari Alignment. Akibatnya, Alignment mengusulkan undi tidak percaya ke atas Shamir. Shamir tewas 55-60. Ini kali pertama dan kekal sebagai satu-satunya insiden dalam sejarah politik Israel yang menyaksikan kerajaan ditumbangkan melalui undi tidak percaya.

Presiden Israel, Chaim Herzog kemudian mengarahkan Peres untuk cuba membentuk kerajaan. Namun, Peres berdepan cabaran sukar untuk menarik sokongan parti-parti Yahudi ortodoks untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Akibatnya, bermulalah tindakan lompat-melompat parti dan tawar-menawar secara terang-terangan. Tapi Peres tetap gagal membentuk kerajaan selepas kekurangan 1 kerusi untuk membentuk majoriti mudah.

Herzog kemudian memberi semula peluang kepada Shamir untuk membentuk kerajaan. Shamir berjaya dengan majoriti tipis 62-58. Tetapi beliau terpaksa membayar harga yang mahal untuk tujuan ini.

Shamir terpaksa menarik semula sokongan ahli-ahli parti Likud yang melompat dan ahli Knesset yang menyokong undi tidak percaya kepada beliau sebelum ini dengan menawarkan pelbagai habuan kepada mereka sama ada dalam bentuk jawatan menteri atau janji berada di kerusi selamat untuk dilantik semula dalam pilihan raya akan datang.

Tindakan ini menyebabkan rakyat menjadi marah kepada ahli politik. Slogan rakyat yang popular pada ketika itu ialah ‘Kami tolak politikus murahan!’

Selepas kerajaan Shamir mengangkat sumpah, Jawatankuasa Undang-undang Knesset segera mengusulkan rang Undang-undang Mencegah Pengkhianatan Ahli Knesset atau undang-undang anti-lompat parti.

Undang-undang ini antara lain menetapkan:

Ahli parlimen yang melompat tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang melainkan ia meletak jawatan sebagai ahli Parlimen;
Ahli Parlimen yang melompat tidak boleh menyertai mana-mana parti politik yang berada di dalam Parlimen;
Ahli parlimen yang melompat tidak layak menerima dana politik yang diperuntukkan oleh kerajaan;
Ahli parlimen yang melompat tidak boleh dijanjikan jawatan, ganjaran wang, kerusi selamat dalam pilihan raya akan datang mahu pun ganjaran-ganjaran lain sebagai balasan sokongan;

Sebarang perjanjian yang dilakukan oleh parti-parti gabungan untuk membentuk kerajaan perlu diserahkan kepada Speaker Knesset tidak kurang daripada tiga hari selepas ia dimuktamadkan untuk makluman semua ahli Parlimen

Walau bagaimanapun, undang-undang ini tidak mengkategorikan ahli Parlimen sebagai melompat sekiranya jumlah yang keluar daripada parti memenuhi sekurang-kurangnya ⅓ daripada ahli Parlimen parti tersebut. Kes ini dikategorikan sebagai perpecahan parti (party split).

Parti yang bertindak keluar daripada pakatan pilihan raya juga tidak dikategorikan sebagai lompat parti. Ini kerana pakatan pilihan raya adalah amalan biasa di Israel kerana ia menggunakan sistem perwakilan berkadar berdasarkan senarai parti (party-list proportional representation). Dengan kata lain, pengundi memilih parti dan bukannya calon dan parti mendapat kerusi berdasarkan nisbah undi yang diterima.

Rang undang-undang ini diluluskan dengan 82 menyokong, 2 menolak dan 2 berkecuali.

Sejak 1991, undang-undang ini telah dipinda sebanyak 3 kali – 1994, 2004 dan 2009.

Dan sejak itu juga, tiada kerajaan di Israel yang tumbang akibat lompat parti.

Khalid Jimat,
Ketua Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence (PACE)