Afiq Yan Muhammad Farid Yan (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar dua minggu lepas.

IPOH – Seorang penghantar makanan yang didakwa semalam dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen hari ini bersama tiga lagi lelaki atas pertuduhan merogol seorang pelajar yang sama dua minggu lalu.

Penghantar makanan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu di sebuah rumah di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput Utara, antara 1 hingga 2 pagi, 17 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Tiga lelaki iaitu seorang bawah umur, Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, dan Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, pula didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa di alamat rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput Utara, antara 1 hingga 2 pagi, 14 Julai.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Semua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad manakala peguam Navin Punj, Mahajoth Singh dan S Sundarajan mewakili tertuduh.

Ainul membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas Afiq dan RM10,000 ke atas Azeem dan Arif, manakala RM5,000 ke atas remaja bawah umur berkenaan dengan seorang penjamin serta menetapkan 2 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan tertuduh iaitu lelaki bawah umur, Azeem dan Ariff, sehingga menyebabkan mangsa didakwa dirogol ketiga-tiga lelaki itu antara 1 hingga 2 pagi pada 14 Julai.

Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Beliau turut didakwa bersubahat dengan Afiq sehingga menyebabkan mangsa didakwa dirogol lelaki itu antara 1 hingga 2 pagi pada 17 Julai, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Mahkamah membenarkan remaja perempuan itu dijamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis setiap bulan dan kes disebut semula pada 5 Ogos depan.

Semalam, Afiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa di sebuah hotel di sini kira-kira 12.30 tengah malam pada 16 Julai lalu.

Pada 20 Julai lalu, polis dilaporkan menahan enam lelaki berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan berikutan ibu mangsa membuat laporan polis bahawa dia menjumpai anaknya dalam keadaan terbaring dan khayal di sebuah rumah di Panorama Lapangan Terbang.

Seorang remaja perempuan yang juga rakan kepada mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA