Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) bercakap pada sidang media mengenai lanjutan Program JaminKerja–Insentif Penggajian (JKIP) dan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memastikan kes penyelewengan serta tuntutan palsu daripada majikan dan penyedia latihan yang memohon dalam Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) tidak berulang.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, pertubuhan itu tidak menafikan kewujudan pihak yang cuba mengambil kesempatan, namun ia hanya kurang daripada satu peratus.

“Saya boleh katakan mungkin kurang daripada satu peratus pihak yang cuba ambil kesempatan, tapi kita secara dalaman melalui data berasaskan maklumat kecerdasan buatan (AI) boleh kesan salah guna tersebut dan tidak akan berkompromi dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lanjutan Program JKIP dan Kejayaan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Menara Perkeso di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

Jelasnya, pihaknya akan membuat tapisan ketat terhadap dokumen yang diterima daripada majikan serta lawatan mengejut ke premis terbabit termasuk panggilan rawak kepada mereka yang ditawarkan pekerjaan.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan seramai 45 individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Hire bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Susulan itu, Perkeso menggantung bayaran program berkenaan berjumlah RM423 juta selepas risikan sejak Mei lalu oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AEFI) agensi itu mendapati ada majikan menyalahgunakan dana tersebut.

Sehubungan itu, Azman berkata, Perkeso amat menekankan nilai integriti dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam. – MalaysiaGazette