Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) bercakap pada sidang media mengenai lanjutan Program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited dalam menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan pada tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Datuk Aziz Mohamed berkata, inisiatif itu diambil selepas kerajaan melanjutkan Program JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) selama enam bulan sehingga 31 Disember ini.

“Program ini beri tumpuan kepada pengambilan daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing, orang kurang upaya, wanita dan pekerja yang hilang pekerjaan.

“Jumlah tersebut adalah bagi menyokong matlamat JKIP dalam mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lanjutan Program JKIP dan Kejayaan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Menara Perkeso di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

Mengulas lanjut, Azman berkata, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil turut kekal seperti sebelum ini.

Jelasnya, ia merupakan hasil peruntukan sebanyak RM2 billion di bawah Bajet 2022 iaitu RM475 juta daripadanya disalurkan oleh Perkeso kepada para majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesyukuran selepas ekspo kerjaya yang berakhir kelmarin mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai ekspo kerjaya terbesar di negara ini.

Menurutnya, ekspo yang diadakan selama lima hari bermula 23 Julai itu dihadiri hampir 14,000 pengunjung dengan seramai 1,712 daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan.

Tambahnya, seramai 10,698 pula berjaya ke peringkat temu duga kedua dengan pembabitan lebih 1,000 majikan dalam ekspo yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sehubungan itu, Perkeso menyeru kepada mereka yang mencari peluang pekerjaan untuk berdaftar dalam portal MYFutureJobs bagi mendapat akses pasaran kerjaya terkini. – MalaysiaGazette