Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat semalam sebagai satu kemenangan kepada rakyat.

Majlis Presiden PH percaya, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu semalam, keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi akan pulih.

“Majlis Presiden PH amat gembira dan berbangga bahawa RUU pindaan Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat semalam.

“Pindaan Perlembagaan yang sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia.

“Ia merupakan salah satu tiang seri kepada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan dan PH,” katanya Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan itu dibuat secara bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH berkata, masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi dalam negara.

“Ia bagi menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” katanya.

Susulan pindaan RUU itu, Majlis Presiden menuntut agar empat lagi perkara yang termasuk dalam MoU itu dilaksanakan termasuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun, membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen.

“Selain itu, pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

“Pada masa yang sama, kebebasan institusi Kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, susulan kenyataan Perdana Menteri pada Rabu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani, Majlis Presiden PH akan mengarahkan wakil-wakilnya dalam Jawatankuasa Pemandu MoU segera mengadakan mesyuarat bersama wakil kerajaan pada kadar segera.

“Ia bagi membincangkan beberapa perkara di dalam MoU yang masih berbaki, di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik,” katanya. – MalaysiaGazette