Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan segera bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Desakan itu dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan lompat parti semalam.

Menurut Asyraf Wajdi, ‘pemerkosaan’ mandat rakyat akibat ahli Parlimen melompat parti mengakibatkan negara tidak stabil selama empat tahun.

Justeru katanya, rakyat perlu diberikan semula peluang untuk memilih kerajaan secara demokratik.

“Tiada lagi pemerkosaan mandat rakyat yang menjadi punca ketidak-stabilan negara selama lebih empat tahun.

“Maka, sudah tiba masanya mandat rakyat agar sebuah kerajaan mutlak yang bukan didirikan atas pengkhianatan mandat dapat dipilih secara demokratik.

“Yang pasti rakyat tidak akan sesekali melupakan wajah-wajah pengkhianat mandat rakyat sehinggakan negara terpaksa menempuhi tempoh kelam dalam lipatan sejarah tanah air,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, RUU Anti Lompat Parti akan menghalang insiden pengkhianatan mandat rakyat daripada berulang seperti yang berlaku selepas PRU14.

Malah menurutnya, negara tidak akan melalui lagi episod hitam dalam sejarah demokrasi selepas RUU yang diluluskan itu akan menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.

“Harap tiada lagi insiden pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Tiada lagi catur-mencatur kuasa dalam kalangan pengkhianat mandat rakyat.

“Tiada lagi pencabulan mandat rakyat yang menyebabkan negara melalui episod hitam dalam sejarah demokrasi tanahair,” kata Asyraf Wajdi.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terluas luas.

Bacaan kedua rang undang-undang itu telah dibaca, dibentang dan dibahaskan semalam di Dewan Rakyat.-MalaysiaGazette