KUALA LUMPUR – UMNO akan lawan jika Perikatan Nasional (PN) terus menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, tegas Isham Jalil.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Perdana Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan tuntutan PN yang mahukan jawatan itu.
Ini kerana, rakyat mahu mandat mereka dikembalikan, bukan menyerahkan jawatan itu kepada PN.
”PM tak perlu layan mereka ini. Jika mereka ugut, kita akan lawan. UMNO parti akar umbi, ada lebih 3 juta ahli. Usah peduli tuntutan pelompat parti.
“Rakyat lebih penting dari mereka ini. Kita bubar Parlimen, serah mandat di tangan pengundi, reset dan kembalikan kestabilan politik, dan pulihkan ekonomi secepat mungkin. Allah akan bantu orang-orang yang ikhlas dan sabar dalam perjuangan, insha Allah,” tegas beliau.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gabungan itu kecewa dengan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.
Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, kelmarin.
Bagaimanapun, Hamzah tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan.
Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat, katanya.
Antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette