Tangkap layar perbualan yang dilakukan Scammer menggunakan nama Wan Junaidi yang ditularkan di Twitter

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi mangsa penyamaran jenayah pinjam wang menggunakan aplikasi Telegram.

Pemakluman mengenai penipuan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Santubong itu megesan satu tangkap layar pihak terbabit yang cuba menipu seorang individu.

“Assalammualaikum, saya ingin memaklumkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar saya untuk meminta wang tunai melalui aplikasi Telegram.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pihak yang ada menerima mesej melalui mana-mana aplikasi perbualan khususnya Telegram supaya mengabaikannya atau menyekat dan membuat laporan kepada pembangun aplikasi yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan ringkas, hari ini.

Ujarnya, sesiapa yang telah menjadi mangsa diminta supaya segera membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar pihak terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Semoga Allah melindungi kita semua dari segala penipuan,” tambahnya.

Terdahulu, Wan Junaidi memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi ciapan di Twitter.

Beliau memuat naik gambar tangkap layar perbualan antara scammer terbabit dengan individu yang hendak ditipu dengan turut terpapar nama serta gambarnya kononnya beliau sebagai peminjam.

Jenayah menyamar sebagai ‘rakan’ dan meminta pinjam wang dengan alasan akaun bank ada masalah kini dilihat semakin menjadi-jadi.

Lazimnya mangsa cepat terpedaya bukan sahaja disebabkan profil gambar mangsa tetapi jumlah pinjaman tidak banyak selain penjenayah itu berjanji untuk membayar semula pada keesokan harinya.

Antara yang turut menjadi mangsa sebelum ini, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali apabila gambar profilnya di WhatsApp digunakan untuk meminjam wang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast