ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil empat lagi individu termasuk ahli politik untuk diambil keterangan tentang penyertaan mereka dalam Himpunan #Turun di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini pada 23 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam untuk arahan selanjutnya.

“Bagaimanapun, kertas siasatan itu dikembalikan semula kepada kami oleh TPR untuk dilengkapkan dengan mengambil keterangan daripada empat lagi individu.

“Empat individu berkenaan termasuk ahli politik itu akan diambil keterangan dalam masa terdekat supaya kertas siasatan itu dapat dirujuk semula kepada TPR untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Road March Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 2022 di Dataran Merdeka di sini hari ini yang dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebelum ini, Dellhan mengesahkan polis sudah selesai mengambil keterangan daripada seramai 27 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan berkenaan.

Pada 23 Julai lalu, kira-kira 100 individu menyertai himpunan itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan cubaan mereka untuk berarak ke Dataran Merdeka gagal selepas disekat polis.

Perhimpunan berkenaan dipercayai dianjurkan bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang kebelakangan ini selain mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan untuk dilaksanakan.

Himpunan yang disertai oleh aktivis, mahasiswa dan juga ahli politik itu mengugut kerajaan himpunan besar-besaran akan diadaka sekiranya tuntutan mereka tidak diendahkan oleh kerajaaan.- MalaysiaGazette