Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang diterima oleh cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar

KUANTAN – Pahlawan yang mengetuai penentangan penjajah, Allahyarham Mat Kilau yang kembali dikenang selepas perjuangannya difilemkan telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Pahang 1444 hari ini.

Anugerah tersebut diterima oleh cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar yang kini meneruskan silat warisan Mat Kilau menerusi Pertubuhan Silat Tapak Suci di Jerantut.

Beliau menerima RM10,000 berserta sijil iringan dan berhasrat menggunakan hadiah kemenangan itu untuk menaik taraf gelanggang seni silat dan Galeri Mat Kilau yang diusahakannya.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd Salam dilahirkan pada 1866, Kampung Kedondong, Pulau Tawar Jerantut merupakan pejuang kebangkitan ketika zaman penjajah.

Menurut sejarah, Mat Kilau pandai mengaji al-Quran, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana yang turut dikenali sebagai Dikir Pahang serta mahir dalam ilmu persilatan dan kemahiran hidup di dalam hutan.

Beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 di rumah anaknya Zaleha yang terletak di Batu 5, Paya Besar Kuantan di usia 104 tahun dan  disemadikan di sebelah makam ibunya Teh Mahda Tok Kaut Burau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar Jerantut.

Terdahulu,  Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang  di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang  di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah

Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Hampir 1,000 orang memeriahkan sambutan Maal Hijrah dan disambut secara sederhana namun penuh kesyukuran dengan menghayati tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Majlis diserikan dengan perkongsian tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub dan persembahan nasyid oleh Kumpulan Mestica.

Beberapa kategori anugerah turut disampaikan seperti Anugerah Pengkhidmat Agama, Anugerah Inovasi Jabatan, Anugerah Mubaligh Saudara Baru, Anugerah Perkampungan Orang Asli dan Batin terbaik serta Anugerah Sukarelawan Ummah. -MalaysiaGazette