Mayat mangsa maut tertimbus tanah runtuh di Pokok Sena, Kedah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

POKOK SENA – Seorang pemandu jengkaut maut selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang di sini hari ini.

Kejadian pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Mohammad Nasir Awang Ali, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.37 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pihak bomba mengguna jengkaut untuk mencari mangsa tertimbus.

Jelas beliau, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati terdapat runtuhan batu di lokasi akibat daripada kerja-kerja menimbun tapak pembinaan.

“Susulan itu, kita lakukan operasi pencarian mangsa menggunakan jengkaut sebelum mendapati mangsa tertimbus kira-kira tiga meter.

“Pencarian hampir tiga jam itu membuahkan hasil selepas mangsa ditemui pada jam 12.38 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja menimbun tapak pembinaan.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 12.51 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette