KUALA LUMPUR – UMNO perlu berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) sebagai satu fraksi yang kukuh.
Naib Presidennya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, parti tunjang kaum Melayu itu perlu bersatu dengan hanya satu pasukan bukan ada dua haluan yang berbeza.
“Untuk menang pilihan raya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan UMNO.
“Bukan haluan presiden, bukan haluan PM. Bukan haluan mana-mana kelompok atau kluster. Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam UMNO mesti kembali bertaut.
“Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, politiking yang hanya melemahkan UMNO secara dalaman,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, untuk berhadapan dengan PRU-15, UMNO perlu menjadikan ia sebagai satu fokus utama.
“Kerajaan yang sedia ada bersifat interim. Ini realiti. Semua memahaminya. Akhirnya, UMNO mesti mencari jalan keluar dari kesementaraan ini demi kestabilan negara melalui pilihanraya yang demokratik,” katanya lagi.
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, tidak semua perkara yang dilaksanakan UMNO dipersetujui pimpinan tertinggi namun ia bukan alasan untuk memecahbelahkan parti dari dalam.
Malah , katanya, pihak luar amat mahu melihat parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpecah dan akan mudah dikalahkan pada PRU-15 kelak.
“Jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah. Salah begitu. Dukungan UMNO kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada presiden dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguat satu sama lain.
“Perdana Menteri harus menjadi suara UMNO dan presiden pula mesti menjadi jurubicara bangsa. Hanya dengan sedemikian, kerajaan dan parti terus sehaluan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette