Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad kelayakan pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapatkan rebat susulan kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada Rabu lepas adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan yang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB itu dijangka selesai dalam tempoh satu bulan dari tarikh kejadian.

Beliau berkata selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan itu juga akan meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) TNB atau sebaliknya.

“…seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, GSL diwujudkan bagi memastikan kualiti bekalan elektrik serta perkhidmatan TNB dalam keadaan terbaik, termasuk menjaga kepentingan pengguna.

Rabu lepas, kira-kira satu juta pengguna TNB di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dilapor terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus bermula 12:39 tengah hari.

Bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga dua jam 21 minit iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020. – Bernama