KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyanggah ucapan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu malam tadi.
Menurut Isham terdapat tiga intipati ucapan Abdul Hadi yang didakwanya tidak tepat.
Dalam ucapannya Abdul Hadi berkata, Pakatan Harapan (PH) berbohong ketika berjanji dan tidak menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) parti itu.
Menurut Abdul Hadi, PN tidak mempunyai manifesto sebaliknya parti itu ada agenda yang akan dilaksanakan.
“Yang tulis manifesto bohong PH itu adalah parti utama PN lah, iaitu PPBM.
“Pengerusi PN sekarang iaitu Tan Sri Muhyiddin itulah adalah antara orang yang bertanggungjawab terhadap manifesto PH semasa PRU14. Orang yang bohong manifesto itu ada sekali atas pentas dengan tuan guru,” kata Isham.
Isham juga menyanggah pandangan Abdul Hadi bahawa PN telah berjaya mengatasi masalah ekonomi.
Beliau turut menyanggah kenyataan Abdul Hadi bahawa rakyat perlu tahu PN telah menunjukkan bukti yang parti itu telah berjaya memimpin negara.
“PN berjaya atasi masalah ekonomi? Ini bohong. Masa 17 bulan PN memerintah, kerajaan telah gagal.
“PN buat lockdown terpanjang di dunia, hutang negara bertambah, pelabur lari ke negara lain, 800 ribu orang tiada kerja, rakyat angkat bendera putih akibat masalah ekonomi dan kesengsaraan hidup, ramai orang bunuh diri, dan Muhyiddin terpaksa letak jawatan.
“Kalau dia dan PN berjaya atasi masalah ekonomi, rakyat tidak panggil PN kerajaan gagal dan suruh dia letak jawatan,” menurut Isham.
Beliau turut menyanggah Abdul Hadi yang menyatakan bahawa PN mengajak parti-parti lain untuk selamatkan negara dan bukannya hanya untuk rebut kuasa.
“PN tidak rebut kuasa? Yang ramai lompat parti untuk jawatan dan berebut kuasa dan yang baru-baru ini tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri itu PN lah.
“Terimalah hakikat, PN penuh dengan pelompat parti dan orang yang gila kuasa. Tetapi apabila diberi kuasa dan amanah, mereka buat kerosakan dan ranapkan ekonomi negara,” kata Isham.
Kira-kira 10,000 hadir pada pelancaran PN Terengganu malam tadi bagi memperkukuhkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka tidak lama lagi.
Pentas utama pelancaran PN menampilkan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Abdul Hadi dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang.
Dalam mesej Hadi semasa pelancaran itu, beliau menjelaskan berhubung langkah Pas membentuk dan berada dibawah gabungan PN untuk menghadapi PRU15.
Keputusan untuk kekal bersama PN dibuat memandangkan UMNO dilihat parti yang bermasalah bersikap bongkak dan sombong apabila enggan menerima parti bumiputera lain untuk bekerjasama.
“UMNO tak mahu. UMNO mahu Pas dengan UMNO saja. Kita kata tak boleh. Kalau Pas dengan UMNO tak cukup, tak cukup nak memerintah, mesti kena gabung semua.
“Bahkan kita menerima penubuhan Muafakat Nasional. Dengan syarat Muafakat Nasional ini, menggabungkan tiga parti besar dan bumiputera. Bukan Pas dengan UMNO sahaja,” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette