Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melawat ruang pameran semasa sesi Media Tour sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI 31JULAI 2022.

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula pada 4 hingga 14 Ogos ini diyakini mampu mencapai sasaran kehadiran pengunjung mencecah 100,000 orang.

Ini kerana, pameran pertanian terbesar dan berprestij yang bakal menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi-inovasi tempatan dan luar negara, strategi-strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pendekatan lain yang mampu membantu sektor tersebut dinanti-nantikan selepas empat tahun penganjurannya tidak dibuat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAHA 2022 turut mendapat sambutan penajaan yang sangat menggalakkan daripada pemain industri di pelbagai sektor.

“MAFI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pembelian pakej-pakej penajaan yang secara tidak langsung menjadi bukti keyakinan industri terhadap penganjuran MAHA 2022 sebagai agenda untuk melonjakkan ekonomi dan sekuriti makanan masa hadapan,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Ronald dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid menyertai media meninjau persiapan akhir menerusi Media Tour MAHA 2022 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti khas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama media bagi meninjau persiapan di tapak selain bertujuan untuk mempromosikan MAHA 2022.

Turut didakan pada program itu pelancaran kad istimewa oleh Agrobank untuk MAHA 2022 yang dikenali sebagai Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2022 iaitu satu pelan perlindungan yang direka khas dengan bayaran serendah RM10.60 setahun untuk memberi perlindungan kemalangan sehingga RM306,000 kepada Orang Yang Dilindungi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyempurnakan pelancaran kad agrobank semasa sesi Media Tour sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI 31JULAI 2022.

Kad Eksklusif Takaful Edisi MAHA 2022 juga ditawarkan kepada pelanggan yang melanggan mana-mana pelan Takaful Kasih Plus di Pusat MAEPS Serdang sepanjang MAHA 2022 berlangsung.

Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan atau Food Security for the Future, fokus MAHA 2022 adalah kepada komponen-komponen seperti Agro Trade iaitu melibatkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan serta mempromosi produk tempatan dan antarabangsa;

Ia turut meliputi Agro Edutainment bagi mempromosi serta memberi kesedaran tentang kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara, Agro Lifestyle bagi mempamerkan gaya hidup keluarga agro serta aktiviti-aktiviti nilai tambah di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

Selain itu terdapat juga aktiviti bagi menarik golongan muda iaitu Agro Youth untuk menggalakkan dan mendorong pembangunan usahawan tani muda sebagai pelapis dan jaminan masa depan pertanian negara; Agro Tourism khusus bagi mempromosi industri
agropelancongan; Agro Tech untuk mempamerkan penggunaan teknologi dan jentera terkini dalam sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melawat ruang pameran semasa sesi Media Tour sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI 31JULAI 2022.

Turut dijangka mendapat tumpuan pengunjung MAHA edisi 2022 kali ini adalah segmen Agro Job Fair yang akan mempromosikan potensi serta peluang pekerjaan yang tersedia dalam sektor pertanian.

Sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat, seminar dan konvensyen agromakanan selain pengoperasian laman-laman dan rumah-rumah negeri.

MAHA 2022 selain memberi penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan akan diselitkan juga dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) melalui aktiviti pameran hasil dan produk pertanian oleh peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani.

MAEPS telah menjadi tapak pameran kekal untuk pelaksanaan Program MAHA mulai tahun 2006 sehingga 2018.

Keluasan tapak MAEPS seluas 125 hektar termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan amat sesuai bagi memastikan pematuhan SOP sepanjang 11 hari program itu berlangsung dan akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan masuk adalah percuma.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melawat ruang pameran semasa sesi Media Tour sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI 31JULAI 2022.

Penganjuran MAHA 2022 akan menjadi indikator utama dalam usaha kerajaan melalui MAFI memacu pemulihan sektor pertanian dan agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih dan menjamin sekuriti makanan negara. – MalaysiaGazette