Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bekerjasama dengan parti-parti lain untuk menyelamatkan tanah Melayu di Kampung Baru daripada tergadai.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang tidak akan membiarkan tanah orang-orang Melayu di kawasan tersebut menjadi rebutan bangsa asing untuk dibuat pembangunan yang akhirnya akan menghimpit mereka.

Tegasnya, beliau mendapat tahu bahawa tanah penduduk di kawasan berkenaan sedang menjadi rebutan dan disebabkan itu Pejuang tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

“Kita datang sebab kita dapat tahu satu dasar kerajaan merampas satu kawasan tanah dimiliki orang Melayu untuk kononnya untuk pembangunan.

“Kita bukan rasis, kita bukan berjuang untuk orang Melayu saja tapi kita berjuang untuk keadilan…adilkah merampas daripada orang miskin untuk beri kepada orang kaya?

“Sebab itu pihak kami memberi perhatian dan bertindak bersama-sama dengan pihak-pihak yang lain, ini bukan Pejuang saja.

“Ramai daripada pihak lain juga menyertai gerakan kita ini dan di mana juga berlaku ketidakadilan Pejuang akan bersama parti lain dan NGO akan menentang ketidakadilan yang dilakukan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Negarawan Bersama Warga Kampung Sungai Baru, di Kampung Baru di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi itu dalam ucapannya berkata, sikap orang Melayu yang lemah menjadi punca tanah-tanah mereka tergadai kepada bangsa asing.

Beliau mendakwa, banyak tanah-tanah orang Melayu terutama di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur mengecil kerana mereka dengan mudah menyerahkannya kepada orang luar.

Katanya, ia merupakan perkara yang amat menyedihkan dan orang Melayu harus sedar dan mereka perlu mengubahnya dengan segera.

Tambah Dr. Mahathir, orang Melayu tidak bijak menggunakan peluang dan disebabkan itu mereka terlepas banyak peluang yang ada.

Jelasnya, Pejuang bimbang dengan dasar yang diguna pakai oleh kerajaan hari ini apabila merampas satu kawasan yang milik orang Melayu yang akhirnya akan menyukarkan rakyat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast