KUALA LUMPUR – Malaysia boleh menang dengan mudah sekiranya menghantar peguam bagi menentang tuntutan waris Kesultanan Sulu di mahkamah antarabangsa pada 2019.
Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, andaian itu berdasarkan kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini.
“Ini yang saya tak faham. Seperti yang Tommy kata hari ini, peruntukan untuk timbang tara dalam perjanjian Sulu tidak lagi wujud sebab pertikaian hendaklah merujuk kepada General Council of Borneo yang tidak lagi wujud.
“Negara United Kingdom pun dah sahkan General Council of Borneo tak wujud lagi dan mereka tidak berminat untuk cari gantian kepadanya,” kata Najib.
Justeru menurut Najib, Malaysia hanya perlu menghantar peguam dan mengetengahkan fakta bahawa tiada pertuntukan untuk timbang tara terhadap tuntutan Sulu dalam mahkamah Sepanyol.
“Isu-isu lain tak penting lagi sebab tidak lagi wujud hak timbang tara di mana-mana.
“Menang mudah jika kita hantar peguam untuk berhujah di sana. Tetapi Tommy dan kerajaan PH tidak buat demikian. Tak seorang pun dihantar. Kononnya sebab kos,” kata Najib.
Menurut Najib, surat yang Tommy berikan kepada peguam waris Sultan Sulu seperti memberikan pihak musuh senjata.
“Sebaliknya Tommy mewakili kerajaan PH tulis surat untuk mengaku salah dan kesal kepada waris Sulu untuk settle case. Disalin kepada hakim mahkamah Sepanyol pula.
“Seolah-olah memberi walkover dan peluru kepada mahkamah Sepanyol.
“Sendiri kata tak iktiraf mahkamah timbang tara Sepanyol sebab tiada peruntukan timbang tara tetapi dia salin kepada surat kesal dia tanpa without prejudice kepada hakim mahkamah timbang tara yang dia kata dia tak iktiraf,” kata Najib.
Media hari ini melaporkan, Tommy berkata, “tiada persetujuan untuk menimbang tara” dalam pertikaian Malaysia yang dianggarkan bernilai AS$15 bilion (kira-kira RM66.8 bilion) dengan waris Sultan Sulu di bawah bidaan undang-undang oleh waris untuk mendapatkan pampasan bagi tanah Sabah yang mereka katakan nenek moyang mereka dipajakkan kepada sebuah syarikat perdagangan British pada tahun 1878, seperti yang didokumenkan dalam Geran Pajakan 1878.
“[Oleh itu,] itu (tiada perjanjian untuk timbang tara) sepatutnya menjadi penamat [dalam pertikaian Malaysia dengan waris Sultan Sulu],” kata Thomas kepada pemberita hari ini.
Thomas ditemui selepas hadir pada forum mengenai tuntutan oleh waris Sultan Sulu.
Mengimbas kembali, Thomas berkata, pendiriannya ‘tidak berubah’ berhubung keputusannya pada 2019 untuk menulis surat kepada peguam yang mewakili waris Sultan Jamalul Kiram II untuk menawarkan tunggakan kepada pihak yang menuntut.
“[Pendirian] itu tidak berubah, kerana pada pendapat saya, Malaysia sentiasa mempunyai kewajipan undang-undang sejak 1963 untuk membayar [tunggakan kepada waris Almarhum Sultan Sulu di bawah Pemberian Pajakan 1878],” kata Thomas.
Beliau merupakan Peguam Negara dari 2018 hingga 2020 ketika Pakatan Harapan menjadi Kerajaan.
Menurut Thomas, beliau pada 2019 menulis surat kepada peguam yang mewakili pihak menuntut untuk memaklumkan tawaran Malaysia untuk membayar tunggakan berjumlah RM48,230, termasuk faedah sebagai pampasan kepada pihak yang menuntut berdasarkan Geran Pajakan 1878.
Keputusan Malaysia pada 2019 untuk membayar tunggakan RM48,230 kepada pihak yang menuntut berikutan langkah negara untuk menghentikan pembayaran tahunan RM5,300 kepada pihak yang menuntut antara 2013 dan 2019 seperti yang dilakukan pada masa lalu.
Thomas berkata, surat Malaysia pada 2019 kepada peguam pihak yang menuntut menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf bidang kuasa Sepanyol yang mana pihak menuntut meminta timbang tara sejak itu (antara 2013 dan 2019) untuk mendapatkan kuantum pampasan yang lebih besar daripada Malaysia berdasarkan Pemberian Pajakan 1878. – MalaysiaGazette