Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin hadir ke Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Bagi menangani kekurangan pelajar sekolah menengah dalam subjek STEM (Sains Tulen Dan Matematik Tambahan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memupuk minat itu dari sekolah rendah lagi.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, bagi memastikan negara tidak mengalami kekurangan pelapis dalam bidang inovasi dan tekonologi maka langkah itu perlu untuk menjamin masa depan negara.

“Dunia bersaing atas inovasi dan teknologi, kita lihat minat dalam bidang STAM ini semakin hari semakin berkurangan dan jika kita biarkan perkara ini berlaku, maka kita akan terkebelakang dalam pembangunan khususnya bersaing dalam konteks inovasi dan teknologi.

“Apabila kita lihat tentang pemansuhan UPSR dan PT3 ini, kita nak lihat bahawa murid di peringkat sekolah rendah lagi didedahkan dengan minat kepada sains secara lebih semulajadi supaya datang minat itu dengan rasa mereka ingin membuat satu ekspolarasi yang lebih mendalam bagi membolehkan mereka naik ke sekolah menengah mereka tidak takut dengan subjek sains.

“Apabila kita mansuhkan UPSR dan PT3, kita kukuhkan minat dalam mata pelajaran STAM ini di peringkat sekolah rendah lagi supaya mereka dapat membawa minat itu di peringkat sekolah menengah,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Ahmad Fadhli bertanyakan langkah KPM bagi memastikan kekurangan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pengajian mereka di bidang sains dan inovasi.

Sebelum ini, hanya 19 peratus pelajar lepasan SPM yang mengambil aliran sains sebagai subjek utama mereka di SPM.

Terdahulu, Radzi menjawab pertanyaan Natrah Ismail (PH-Sejikang) mengenai impak jangka panjang pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Radzi berkata, KPM sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa.

Jelasnya, dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan, murid ditaksir melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Peperiksaan Pusat.

“Berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS, melibatkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu, iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah. Pentaksiran ini bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” jawab Radzi di Dewan Rakyat.

Untuk itu, dalam PBD, guru akan memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan setiap murid dalam proses pembelajaran mereka termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka, jelas Radzi lagi. – MalaysiaGazette