Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) menaruh harapan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik dapat dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang memberitahu, perkara tersebut telah pun diperjuangkan oleh BN sebelum PRU-14 lagi.

Justeru, beliau berharap sekurang-kurang bacaan pertama RUU itu dapat dilakukan sebelum PRU akan datang.

Katanya, BN komited supaya masalah berkaitan kebolehtanggungjawaban serta ketelusan pergerakan wang dan sebagainya, dapat dikawal selia undang-undang yang khusus.

“Kita harapkan begitu (RUU dibentang dan diluluskan sebelum PRU15) tetapi kita tidak tahu bila tarikh PRU akan diadakan.

“Kalau boleh, disegerakan. Itu pandangan BN. Kali ini, kita mempunyai Perdana Menteri (daripada BN) yang boleh membawa perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Majlis Penutupan Forum Percukaian Ketiga yang dibacakannya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kumpulan G25 mahu Parlimen meluluskan RUU pendanaan politik seperti RUU anti-lompat parti yang telah pun diluluskan selepas sekian lama ditunggu-tunggu.

Kumpulan yang terdiri daripada bekas penjawat awam itu menegaskan, penelitian terhadap pembiayaan politik juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang diperlukan dalam sesebuah negara.

Menurut G25, RUU itu bertujuan mengawal pendanaan awam dan swasta parti politik sebagai satu cara membendung rasuah, sekali gus menjadikan proses pendanaan politik lebih bertanggungjawab. – MalaysiaGazette