vaksin dos penggalak
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 2.8 peratus pada minggu epidemiologi ke-30 tahun 2022 (ME 30/2022)

Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 5.6 peratus manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, tiada perubahan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu katil bukan kritikal tiada perubahan, kekal sebanyak 23 peratus dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) tiada perubahan, kekal sebanyak 14 peratus dan katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada perubahan, kekal sebanyak tujuh peratus.

Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.1 peratus pada ME 30/2022 berbanding ME 29/2022.

Tambahnya, kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan.

Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus manakala jumlah kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5 peratus dan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9 peratus.

Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 30/2022 ianya turun 7.69 peratus berbanding pada akhir ME 29/2022 (dari 70,140 kes ke 64,743 kes).

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,677,270 kes Covid-19 dilaporkan dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 30 Julai 2022 (ME 30/2022).

Sepanjang tempoh itu, kes sembuh sebanyak 4,594,311 kes manakala 35,960 kes kematian serta 7,038 kluster dengan 19 kluster aktif.

Purata nilai kebolehjangkitan direkodkan dalam tempoh itu turun 9.1 peratus.

Dalam pada itu, sehingga ME 30/2022, sebanyak 107 sampel ILI (penyakit seperti influenza) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 14.5 peratus pada ME 30/2022.

Manakala tiada sampel SARI (akut pernafasan teruk) dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette