JOHOR BAHRU – Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor 2022 (FIJO 2022) menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta sepanjang empat hari ia berlansung bermula 29 September ini
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sehingga kini katanya, 70 peratus daripada 300 pempamer telah menempah slot.
“Kita juga mensasarkan lebih 150,000 pengunjung akan hadir sepanjang tempoh empat hari FIJO 2022 berlangsung.
“Festival ini bukan sahaja disertai usahawan tempatan tetapi menarik minat usahawan antarabangsa seperti dari Singapura, Indonesia, Thailand, Turki dan Australia,” katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran FIJO 2022, di sini, hari ini.
FIJO 2022 akan mempromosikan keupayaan negeri Johor sebagai pemain industri halal global antara lain bertujuan untuk membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pengguna pasaran halal tempatan termasuk antarabangsa.
Mohd Hairi berkata, festival yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) itu akan memberi kesan positif kepada usahawan tempatan dan usahawan luar negara.
“Saya berharap peluang seharusnya diambil oleh semua usahawan untuk membina rakan strategik dan rakan sinergi,” jelasnya.
FIJO 2022 melibatkan lapan kluster pempamer iaitu teknologi maklumat (ICT) dan telekomunikasi, agensi kerajaan, teknologi makanan, kewangan dan e-dagang, perindustrian dan jentera, farmaseutikal, kosmetik dan fesyen, pelancongan serta pendidikan.
Penganjuran FIJO 2022 dibuat selepas dua tahun tertangguh akibat pendemik Covid-29.
FIJO 2019 mampu menarik lebih 90,000 pengunjung dan merekodkan lebih 500 sesi padanan perniagaan serta hasil jualan lebih RM7 juta. – MalaysiaGazette