Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memutuskan harga minyak masak botol lima kilogram akan diumumkan setiap satu haribulan mulai bulan ini.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, pengumuman secara bulanan itu akan dibuat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan akan berkuatkuasa setiap 8 haribulan.

“Harga akan ditetapkan secara bulanan berasaskan kepada harga Harga Harian Minyak Sawit Mentah (CPO) yang akan diumumkan MBOB pada setiap satu haribulan setiap bulan.

“MPOB akan umumkan harga pada sebelumnya, dan harga itu akan menjadi kayu pengukur untuk menentukan harga retail minyak masak tulen yang dijual tanpa subsidi,” katanya dalam sidang media mingguan di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, Annuar berkata, penjualan minyak masak botol akan ditetapkan mengikut harga maksimum tertakluk kepada perincian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Keputusan itu, katanya, diambil memandangkan pengeluar minyak masak berbotol masih liat untuk menurunkan harga biar pun harga minyak sawit telah turun.

Dalam pada itu, satu kaedah pengiraan telah ditentukan oleh KPDNHEP setelah mengadakan rundingan dengan pemain-pemain industri minyak sawit tulen.

“Bagi bulan Ogos, MPOB telah memaklumkan harga minyak sawit bagi bulan lepas adalah RM4,065 bagi satu metrik tan berdasarkan pada harga tersebut harga jualan minyak masak dalam botol lima kilogram telah diputuskan pada harga RM34.70.

“Daripada tarikh ia diumumkan, penguatkuasaan di kedai-kedai di peringkat runcit hendaklah dilaksanakan tujuh hari kemudian iaitu bermula setiap lapan haribulan.

“Mulai 8 Ogos, minyak masak lima kilogram pada pada ini dijual pada harga RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksima RM34.70,” katanya lagi.

Dengan itu KPDNHEP akan mengambil langkah-langkah mewartakan harga maksima yang telah ditetapkan ini dan akan dibuat dalam tempoh seminggu bagi tujuan pelaksanaannya pada lapan haribulan setiap bulan. – MalaysiaGazette