Ibu bapa dan guru tidaksetuju kanak-kanak Korea Selatan bersekolah awal. Gambar hiasan. Foto Reuters

SEOUL- Kumpulan ibu bapa dan guru Korea Selatan membantah cadangan kerajaan untuk memulakan persekolahan lebih awal satu tahun kepada umur lima tahun.

Alasan mereka kanak-kanak belum bersedia dari segi intelek, selain perubahan itu akan meningkatkan kesukaran untuk mencari penjagaan anak.

Kementerian Pendidikan minggu lalu mengumumkan akan menurunkan umur persekolahan secara berperingkat, bermula seawal 2025, jika ia mendapat sokongan orang ramai.

Pelan itu bertujuan mengembangkan tenaga buruh dengan menamatkan pendidikan rakyat lebih awal, katanya.

Tenaga buruh di Korea Selatan semakin berkurangan kerana kadar kesuburan Korea Selatan sangat rendah.

Gabungan 36 kumpulan guru dan ibu bapa mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat presiden pada hari Isnin, menggesa rancangan itu dibatalkan.

Ramai ibu bapa telah menentangnya kerana kesukaran mencari penjaga untuk menjaga anak-anak selepas waktu persekolahan berakhir pada awal petang.

Dalam kebanyakan keluarga, kedua-dua ibu bapa bekerja dan pusat jagaan kanak-kanak biasanya hanya menawarkan penjagaan penuh.

Guru-guru yang membantah idea itu mendakwa kanak-kanak berumur lima tahun adalah terlalu muda untuk pergi ke sekolah dan permulaan persekolahan lebih awal bermakna lebih khidmat bimbingan persendirian diperlukan kerana ibu bapa bersaing untuk memajukan anak-anak mereka.

“Memandangkan perkembangan kognitif dan emosi, kemasukan awal ke sekolah adalah tidak sesuai dan ia berkemungkinan menyebabkan kesan sampingan, seperti memperhebatkan pendidikan swasta dan persaingan untuk peperiksaan kemasukan kolej,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan.

Keadaan ini akan menambah beban ibu bapa apatah lagi pada masa ini ramai ibu berhenti kerja apabila anak-anak memasuki sekolah rendah.

Pada 2019, kanak-kanak memulakan pendidikan pada usia enam tahun di 26 daripada 38 negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi dan pada usia lima dalam tiga negara – Australia, New Zealand dan Ireland.

Kementerian Pendidikan menjangka mendapat maklum balas orang ramai yang mencukupi mengenai rancangannya menjelang akhir tahun ini dan akan merangka langkah untuk mengembangkan penjagaan kanak-kanak dan sokongan lain sebelum melancarkan program perintis. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast