Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid Penang di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Kapten dan penumpang bas Rapid Penang dilaporkan dalam keadaan selamat dalam keadaan selepas terbabit kemalangan di Jalan Tun Sardon di sini hari ini.

Rapid Bus Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, kejadian pukul 6.41 pagi itu berlaku membabitkan bas laluan T502 dengan sebuah kereta Perodua Kenari serta motosikal.

“Kereta yang dinaiki seorang lelaki dan wanita telah berlanggar dengan bahagian hadapan bas namun kapten bas serta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala mangsa di dalam kereta cedera dibawa ke hospital berdekatan,” katanya hari ini.

Menurut Rapid Bus, satu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di Balai Polis Trafik Daerah Timur Laut.

“Pihak kami akan memberi kerjasama penuh dengan pihak polis bagi menjalankan siasatan terhadap insiden itu,” jelasnya.

Terdahulu, video kemalangan yang berdurasi 16 saat itu tular di Facebook.

Berdasarkan rakaman video itu kereta terbabit terbalik selepas terlibat dalam kemalangan. – MalaysiaGazette