Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan penangguhan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang mahu menggantung sabitan hukuman kes pemalsuan dokumen dihadapinya.

Sebelum ini, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas meneliti afidavit, hujahan bertulis dan lisan oleh peguam yang mewakili Ahli Undangan Negeri (ADUN) Melalap.

Dalam penghakiman ringkas, Azura berkata, beliau berpuas hati dengan permohonan tersebut dan membenarkan penangguhan itu.

Pada 11 Jun lalu, Peter yang merupakan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam notis usul permohonan penangguhan hukuman menyatakan sabitan itu akan menjejaskan beliau untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Peguambela yang mewakili Peter, D Senthinathan memberitahu, permohonan menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam dalam kes Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk bertanding pada PRU-15 dengan menggunakan alasan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.

Tambah beliau, pihaknya memohon sabitan itu digantung sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati Anthony bersalah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut dengan Peter membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette