Poster filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

PEROLEHAN kutipan melebihi RM90 juta selepas lebih sebulan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara serta di Singapura dan Brunei Darussalam, menjadikan filem epik ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’ arahan sutradara Syamsul Yusof sebagai filem Melayu paling berjaya sepanjang zaman. Aura filem ini juga telah membangkitkan satu gelombang semangat ‘kemelayuan’ yang bukan kepalang sehingga ramai dalam kalangan penonton yang hadir ke pawagam lengkap berbusana Melayu, di samping tidak kurang juga yang mempertontonkan kemahiran seni persilatan Melayu seusai sahaja tayangan di luar pawagam. Gekombang serta aura yang tercetus ini berkemungkinan didorong oleh keikhlasan dan keberanian naskah ini mengupas dilema bangsa Melayu pada ketika Mat Kilau dan sahabat-sahabatnya sedang berjuang bermati-matian mempertahankan kedaulatan tanahair daripada penindasan penjajah.

Persoalannya, apakah untaian refleksi sejarah yang digarap dalam filem ini benar-benar realiti atau fantasi? Walaupun tidak dinafikan wujud elemen-elemen fiksyen dalam garapan naskah filem ini, namun apakah plot-plot yang telah mendorong kebangkitan semangat Melayu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku susulan penayangan filem sejarah sebegini?

Watak Kapten Syers di awal filem ini menyatakan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang lemah, mudah berpecah belah dan dengan itu akan sentiasa dijajah. Adakah ini realiti atau fantasi dalam situasi semasa? Mengambil contoh senario politik semasa, pada awal 1980-an hingga 1990-an, hanya wujud satu atau dua parti politik yang dominan di tanahair tercinta ini.

Namun, selepas ‘tsunami’ politik 9 Mei 2018, kini, wujud tidak kurang lima atau enam parti politik Melayu yang saling bercakaran antara satu sama lain tanpa sebarang tanda untuk berdamai demi kemaslahatan bangsa. Apakah ini yang dimaksudkan Kapten Syers, serta ini yang dibimbangi Mat Kilau bahwa perpecahan bangsa Melayu akan mengakibatkan maruah dan tanahair tergadai? Pada tahun 2022, inilah realitinya. Filem ini juga tanpa berselindung mengenengahkan tentang peranan pengkhianat dan petualang dalam perjuangan bangsa Melayu mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, menerusi watak-watak Pak Deris, Toga, dan Gooh Hui. Apakah ini realiti atau fantasi?

Hakikatnya, pengkhianat dari bangsa sendiri bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat Melayu. Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya ‘Sarjan Hassan’ telah menunjukkan kecenderungan ini menerusi watak Buang – lakunan Salleh Kamil – yang terang-terangan menjadi tali barut Jepun dan mengkhianati bangsa sendiri tanpa segan-silu. Malahan, jika ditinjau sejarah lebih ke belakang ke era Kesulatanan Melayu Melaka, pengkhianat bangsa ini telah wujud dalam kalangan pembesar-pembesar Melaka yang memfitnah Laksamana HangTuah.

Ditambah pula dengan onar dan ‘racun’ yang disebar petualang dari bangsa pendatang seperti Si Kitol dan Raja Mendeliar, empayar Melayu Melaka akhirnya tumbang dan dijajah Portugis lebih 500 tahun lamanya. Pada era moden kini, wujudkah pengkhianat dan petualang dalam kalangan bangsa Melayu dan bangsa pendatang ini? Pelbagai watak dalam ‘topeng’ ini sebenarnya wujud di pelbagai peringkat sosial kehidupan era moden ini, yang tanpa segan silu dan rakus menjarah hasil mahsul negara, menjahanamkan institusi/organisasi dan negara untuk tempoh masa panjang, serta menikam bangsa dan tanah Melayu selepas 65 tahun merdeka. Inilah realitinya pada tahun 2022.

Filem ini menutup tirai dengan watak Mat Kilau berpesan bahawa kekuatan bangsa Melayu bukannya terletak pada adat dan budaya, tetapi pada kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT) dan pesuruhNya, Nabi Muhammad Sallahhualaihi Wasalam (SAW). Tetapi realitinya pada tahun 2022, berapa ramai bangsa Melayu yang lebih mendahulukan amalan adat dan budaya (sendiri atau asing) berbanding perintah Allah dan Rasul? Berapa ramai pula bangsa Melayu yang tergamak menghina Allah SWT, Rasul SAW, dan agama Islam secara terbuka, di media-media sosial?

Selain itu, berapa ramai pula umat Islam berbangsa Melayu secara terang-terangan mengingkari perintah Allah SWT dan ajaran Rasul SAW tanpa rasa bersalah, malahan disanjung dan diangkat sebagai pemimpin di pelbagai platform? Apakah perkara-perkara ini akan menyumbang kepada pembangunan jati diri bangsa Melayu yang mapan, bermoral dan berintegriti, serta mampu bangkit mempertahankan kedaulatan agama, bangsa, dan negara? Realitinya, pada era moden ini, semua tindak tanduk sebegini bukan sahaja melemahkan bangsa Melayu dan memudahkan fikiran majoriti kita kembali dijajah melalui pelbagai aplikasi digital dan media sosial, malahan tidak mustahil suatu hari nanti negara dan tanahair tercinta ini akan kembali dijajah secara fizikal.

Sesungguhnya, pesan Mat Kilau yang dikongsi menerusi nukilan filem ini harus dihayati dan diterjemahkan melalui tindakan bersepadu bangsa Melayu bagi memastikan apa yang telah terjadi dalam lipatan sejarah tidak akan kembali berulang. Sejajar dengan Hari Pahlawan yang akan disambut pada 31 Julai, kebangkitan pahlawan bangsa Melayu era moden harus ditunjangi semangat para pahlawan terdahulu seperti Mat Kilau dan rakan-rakan seperjuangannya. Natijahnya, andaian bahawa panji-panji hitam dari Timur akan digalas bangsa Melayu wajar dijadikan realiti oleh bangsa Melayu hari ini, kerana sejarah perjuangan Mat Kilau dan para pahlawan bangsa terdahulu telah membuktikan bahawa ianya bukan sekadar fantasi.

Lt Kdr Prof Madya Dr. Abu Yazid Abu Bakar TLDM (Bersara)
Profesor Madya (Bimbingan & Kaunseling / Psikologi)
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast