Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan melupakan langkah berani yang diambil oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menangani isu air di Lembah Klang.

Menurut Najib, Abdul Khalid ketika menjadi Menteri Besar Selangor telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat yang menyaksikan langkah tersebut menyelamatkan penduduk Lembah Klang daripada mengalami catuan air.

“Arwah Tan Sri Khalid Ibrahim perlu diberi kredit sepenuhnya apabila Lembah Kelang tidak lagi mengalami catuan air bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Pada bulan Februari 2014, arwah dengan beraninya telah menandatangi MoU penstrukturan semula air Selangor dengan Kerajaan Pusat dan meluluskan loji penapisan air Langat 2.

“Biarpun rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat membantah kerana berdegil dan melawan atas sebab politik bahawa projek-projek Langat 2 dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) tidak diperlukan,” kata Najib.

Menurut Najib, disebabkan MoU tersebut Abdul Khalid telah disingkirkan daripada jawatan menteri besar.

Namun projek yang ditandatangani oleh Abdul Khalid tetap diteruskan oleh pengganti Allahyarham.

“MoU air ini yang dijadikan alasan permulaan oleh Pakatan bagi langkah mereka singkirkan arwah sebagai menteri besar Selangor beberapa bulan kemudian.

“Namun MoU air dan projek-projek tersebut tetap diteruskan dan dinanti-nantikan oleh kerajaan Selangor selepas arwah dipecat sebagai MB Selangor – bukti bahawa keputusan arwah untuk mengetepikan politik sempit demi kelangsungan hidup penduduk Lembah Klang adalah sangat tepat.

“Jasa arwah akan terus dikenang oleh saya dan seluruh penduduk Lembah Klang. Langkah berani arwah tidak saya lupa. Secara peribadi, saya amat sedih dengan pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim,” kata Najib.

Abdul Khalid meninggal dunia pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan dan menerajui Selangor sehingga 22 September 2014.

Beliau adalah menteri besar Selangor yang pertama daripada parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo.

Abdul Khalid mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 26 Ogos 2014. – MalaysiaGazette