Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Putrajaya

PETALING JAYA – Pengusaha restoran diingatkan untuk memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya pegawai boleh mengenal pasti sama ada kenaikan yang dihasratkan itu adalah munasabah.

Pengarah penguat kuasa kementerian itu, Azman Adam berkata,  pengusaha makanan patut memaklumkan KPDNHEP supaya pegawai boleh mengunjung dan mengenal pasti punca penyelarasan harga di premis berkenaan.

Katanya kepada Sinchew Daily, pengguna yang mendapati kenaikan harga berlaku secara tidak munasabah juga boleh membuat laporan kepada kementerian.

Menurut Azman, pihaknya akan menyiasat walaupun hanya terdapat  satu laporan dan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Tambahnya, pengalaman dalam penguatkuasaan mendapati memang terdapat peniaga termasuk pengusaha kedai makan yang mengambil kesempatan gelombang inflasi untuk menaikkan harga secara tidak berpatutan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan justeru perlu diambil ke atas peniaga berkenaan.

Jelasnya, sebelum “kunjungan” dibuat, peniaga akan dimaklumkan untuk menyediakan dokumen berkaitan untuk membolehkan sisatan sama ada berlaku pencatutan.

Beliau berkata, dari 1 Januari hingga 25 Julai, pihak kementerian telah menerima 15,313 aduan iaitu purata 74 aduan sehari.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya juga boleh mengambil tindakan sekiranya pengguna menyertakan resit yang jelas semasa berkongsi kejadian “cekik” melalui media sosial.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengalakkan tindakan menghebohkan melalui media sosial kerana peniaga boleh menurunkan harga sebelum siasatan dilakukan KPDNHEP.

“Sekiranya berasa harga terlalu mahal, pengguna boleh menghubungi kementerian dan kami pasti akan mengambil tindakan,” katanya.

Ujarnya, dari 1 Januari hingga 30 Jun, KPDNHEP telah mengeluarkan 1,540 notis kepada peniaga untuk menyiasat sama ada mereka mencatut.

Tambah Azman lagi, KPDNHEP bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk merekrut sukarelawan untuk memeriksa dan memantau harga di pasaran. – MalaysiaGazette