Rohana (kanan) memeluk erat ibu angkatnnya, Hoi Lan yang mesra dipanggil laoshi sambil menunjukkan kad pelajar yang diperolehi selepas mendaftar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka, hari ini bagi mengikuti program Diploma Sains Komputer.

MELAKA – “Saya sedih terpaksa berpisah tapi gembira kerana dia dapat menyambung pelajaran ke universiti,” kata Chee Hoi Lan, 83, sambil mengesat air mata .

Hoi Lan menemani anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, yang kisahnya pernah tular kerana ditinggalkan ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi pada hari pertama pendaftaran pelajar pengajian diploma di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

Menurut Hoi Lan, perpisahan kali ini adalah yang paling lama akan dirasai kerana sebelum ini dia dan ‘anaknya’ itu hanya berpisah selama seminggu kerana Rohana perlu menghadiri kursus di peringkat sekolah.

“Memang saya sangat sedih, tapi sedih kegembiraan dan hanya mampu berpesan kepadanya supaya pandai jaga diri, akhlak, agama dan solat.

“Walaupun sudah tua, hari ini saya datang menemani anak untuk memastikan proses pendaftarannya berjalan lancar kerana sebelum ini Rohana tidak memiliki kad pengenalan,” katanya.

Hoi Lan ditemui media selepas menemani Rohana yang merupakan antara 660 pelajar diploma daripada lima kursus ditawarkan UTeM yang mula berdaftar di Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UTeM hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin.

Dr Massila (dua dari kanan) menyerahkan kad pelajar kepada Rohana selepas mendaftar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka, hari ini bagi mengikuti program Diploma Sains Komputer.

Rohana mengikuti program Diploma Sains Komputer yang memakan tempoh pengajian selama dua tahun enam bulan.

Sementara itu, Rohana ketika ditemui berkata, walaupun sedih dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha memastikan proses pendaftaran berjalan lancar sehingga dia dapat menjejakkan kaki ke universiti paling hampir dengan ‘ibunya’ itu yang dipanggil ‘laoshi’ sejak kecil.

Laoshi adalah panggilan mesra yang membawa maksud guru dalam bahasa Mandarin.

“Persiapan saya Alhamdulillah segalanya baik dan tidak sabar untuk memulakan kelas pertama esok walaupun sebenarnya dalam hati ini bimbang juga akan kesihatan laoshi di Kuala Lumpur.

“Namun, demi masa dan mahu membalas budi laoshi yang membesarkan saya sejak berusia dua bulan, saya terpaksa korbankan perasaan rindu itu,” katanya sebak.

Tambahnya, dia akan memastikan segala pengorbanan wanita hampir satu abad itu terbalas sebaik sahaja dia menamatkan pengajiannya di UTeM pada 2024 kelak.

“Saya akan sentiasa berpegang kuat pada pesanan laoshi, nilai-nilai murni yang telah diasuh pada saya sejak kecil lagi dan akan membalas segala pengorbanannya.

“Walaupun bimbang akan keadaan kesihatannya, saya rasa lega kerana sudah ada individu yang sudi membantu saya melihat keadaan laoshi setiap hari memastikannya kesihatannya,”katanya.

Kisah Rohana sebelum ini tular kerana dibesarkan oleh Hoi Lan sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan ibu kandungnya ke Indonesia.

Ketiadaan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri menyebabkan kehidupan Rohana menjadi sukar dan tidak dapat menyambung pengajian ke universiti, sebelum kisahnya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast