Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan pesawah tidak lagi berdepan dengan kelewatan penghantaran bekalan benih padi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya telah memperkenal kaedah baharu dalam menambah baik sistem pengedaran benih padi dengan 30 peratus diedarkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) manakala baki 70 peratus disalurkan pemborong yang dilantik di seluruh negara.

“Sejak sistem baharu ini dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah lebih teratur dan sistematik, sekali gus isu kelewatan juga dapat ditangani.

“Lesen dan permit peruncit diberi kepada ejen, individu atau syarikat berdaftar dengan kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar atau pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah,” katanya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang ingin tahun mengenai kelewatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menurunkan subsidi benih padi kepada petani, selain rasional dan jaminan MAFI dan agensinya tidak mengganggu golongan penternak.

Pada Oktober lalu, seramai 50,000 pesawah di Kedah dam Perlis terkesan ekoran kelewatan penghantaran benih padi.

Ini kerana benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.

Tambah Roland, kementeriannya juga telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi menjamin tiada kelewatan dalam mendapatkan benih padi sah.

Katanya, ia membabitkan pelantikan 13 pemborong benih padi sah dan 12 syarikat pengeluar, melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Sementara itu, Ronald menafikan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), agensi dan pihak swasta yang terlibat dalam program MAFI akan mengganggu golongan sasarannya.

Menurut beliau, pembabitan pihak berkenaan bertujuan menambah baik penyampaian perkhidmatan dalam suasana ekonomi pasca Covid-19 dan landskap ekonomi global semakin kompetitif.

“Kolaborasi awam-swasta juga disebut dalam Teras Dasar 2, Strategi 1 dan 2, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah sebagai pelengkap dan mengukuhkan lagi rantaian bekalan makanan negara.

“Melalui rangka kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta, maka tidak timbul isu GLC, GLIC dan agensi lainnya akan mengganggu-gugat golongan sasar MAFI,” ujarnya. – MalaysiaGazette