Kamarul Zaman Mamat menunjukkan barang rampasan yang berjaya dipatahkan polis Johor dalam serbuan yang dilakuan di Taman Daya, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Muslihat seorang warga emas yang menyembunyikan minuman keras tidak bercukai dalam stor di belakang kedai runcit miliknya di Taman Daya, di sini, terbongkar apabila premis itu diserbu polis pada malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan jam 12.35 pagi itu membawa kepada penahanan suspek berusia 63 tahun dan seorang pembantu kedai warga asing berumur 30 tahun.

“Ketika operasi pemeriksaan dijalankan pihak kami berjaya menemukan 24 botol arak dan 1,274 karton arak pelbagai jenama.

“Hasil siasatan mendapati jarak stor hanya 100 meter di belakang kedai itu telah dijadikan tempat simpanan arak seludup yang dijual kepada pelanggan tetap mereka sahaja.

“Kita dapati lelaki itu mampu mengaut untung dua kali ganda apabila menjual arak seludup pada harga biasa,” katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi, dekat sini, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan

Suspek warga asing yang ditahan itu turut disiasat kerana  menyalahgunakan dokumen perjalanannya, ujarnya.

Menurut Kamarul Zaman, operasi yang dijalankan antara 28 Julai hingga awal pagi tadi menyaksikan 15 individu, termasuk seorang wanita, berusia 28 hingga 53 tahun ditahan.

Katanya, semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Dalam operasi selama lima hari itu, polis turut merampas 117,600 liter minyak diesel bernilai RM191,240, 15 buah lori, sebuah lori tangki, 18 tangki minyak, enam pam minyak dan hos dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.5 juta

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Kamarul Zaman, polis akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan arak yang menyebabkan kerugian kepada hasil negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast