Sebahagian ahli NGO memegang plakad sebagai tanda menyokong penyerahan memorandum mengenai menggesa semua ahli parlimen menyokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat (GEG) di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OGOS 2022.

BARU-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan kempen Generational End Game (GEG) Anti-Rokok 18 (Gegar-18) untuk membawa mesej di kalangan warga sekolah tentang bahaya kesihatan merokok. Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Parlimen pada minggu ini juga merupakan suatu langkah ke hadapan ke arah negara Malaysia yang lebih sihat dan produktif.

Ini adalah sebahagian daripada cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan penjualan produk tembakau di Malaysia kepada mereka yang dilahirkan mulai 2007 dan seterusnya bermula tahun 2023. Tindakan berani itu juga telah disambut dengan pelbagai reaksi daripada orang ramai. Majoritinya mengambil sikap positif dengan pengenalan RUU ini.

Cadangan dasar ini berkemungkinan mendapat inspirasi daripada dasar Generational End Game di New Zealand yang mengikut pendekatan berperingkat dari 2011. Kerajaan New Zealand telah menetapkan matlamat supaya menjelang 2025 kurang daripada 5% rakyat New Zealand akan menjadi perokok. Ini dapat dicapai dengan:
1. Melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada pemasaran dan promosi produk tembakau.
2. Mengurangkan bekalan, dan permintaan untuk produk tembakau.
3. Memberikan sokongan yang terbaik kepada golongan perokok untuk berhenti merokok.

Segalanya ini bermula dengan mengurangkan bilangan peruncit rokok daripada 2024, mengurangkan nikotin dalam rokok bermula pada 2025, dan secara beransur-ansur meningkatkan umur sah untuk penjualan rokok untuk mencipta “generasi bebas tembakau.” Ini bermakna orang yang berumur 14 tahun ke bawah pada 2027 tidak akan dapat membeli rokok. Malah negara-negara maju lain seperti Ireland, Kanada dan Scotland juga telah menetap sasaran masing-masing ke arah negara bebas rokok menjelang 2040.

Masyarakat yang bebas rokok dan mempunyai persekitaran bebas asap rokok dapat membantu menyokong kesihatan dan kesejahteraan keluarga. Masyarakat akan menjadi lebih sihat dan produktif tanpa penyakit-penyakit yang berpunca daripada asap rokok dan yang terbaru penyakit yang telah mula di kesan di Amerika Syarikat pada tahun 2019 dikenali sebagai penyakit EVALI atau Electronic cigarette and Vaping Associated Lung Injury yang telah juga dikesan di Malaysia yang berpunca daripada rokok elektronik. Pastinya juga terdapat kurang peluang anak-anak generasi kita akan merokok dengan terhadnya akses kepada pembelian rokok ini.

Selain itu, masyarakat juga tidak akan lagi menghirup asap rokok terpakai yang dapat menjadi punca kematian. Menurut laporan World Health Organization (2012). WHO Global Report: Mortality Attributable To Tobacco, secara global dianggarkan 600,000 orang setiap tahun mati akibat daripada Second Hand Smoke (SHS).

Negara juga dapat menjimatkan wang terutama dalam krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda dunia kini daripada menanggung kos rawatan untuk pelbagai penyakit akibat merokok yang mencecah hampir RM8.2 billion menjelang tahun 2030. Tidak dinafikan bahawa dasar ini di Malaysia adalah baik untuk kesihatan awam, terutamanya dalam menguruskan risiko kesihatan untuk generasi akan datang. Kendatipun begitu, jalan di hadapan penuh dengan cabaran, dan jika kita tidak berhati-hati, polisi yang sangat baik ini boleh berakhir sebagai kegagalan besar jika aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan dengan teliti dan cermat. Ini dapat ditelusuri melalui libat urus silang kementerian seperti KPDNHEP, KDN, KKM, KPM dan pelbagai lagi agensi serta pemegang taruh terbesar dalam urusan ini.

Pertama, kerajaan perlu meneliti pelaksanaannya. Produk tembakau boleh didapati secara meluas dan mudah di pasaran. Dengan RUU yang dicadangkan ini, generasi yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya akan dihalang daripada membeli produk di kedai runcit. Ini boleh dipantau jika pembelian dibuat secara fizikal dan di dalam kedai. Namun, akan ada cabaran serius dalam memantau perkara dalam talian, terutamanya untuk produk tembakau bukan rokok seperti vape dan rokok elektronik. Walaupun untuk pembelian dalam kedai, apakah jaminan bahawa peruncit tidak akan meletakkan keuntungan berbanding kesihatan awam?

Mewujudkan mekanisme hukuman mungkin berfungsi sebagai penghalang kepada peruncit tetapi masih menjadi cabaran untuk menguatkuasakan undang-undang ini. Walaupun penguatkuasaan bukanlah domain eksklusif Kementerian Kesihatan Malaysia kerana terdapat kementerian dan agensi lain yang terlibat seperti KPDNHEP, praktikaliti larangan ini pastinya akan teruji. Lihat sahaja larangan merokok di kedai makan yang telah dilanggar berkali-kali oleh pengusaha restoran dan pelanggan akibat tiada penguatkuasaan dan pemantauan yang serius oleh pihak berkuasa.

Kedua, apabila kerajaan bertegas dalam mengharamkan atau menyekat pembelian produk tertentu, perdagangan haram atau black market produk ini secara automatik akan berkembang. Pengguna akan mencari cara untuk memintas undang-undang untuk mendapatkan produk ini. Akhirnya, kerajaan terpaksa berhadapan dengan pertempuran berterusan menentang perdagangan haram untuk rokok, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai berbilion-bilion setahun.

Langkah untuk melarang produk tembakau ini daripada mencapai generasi baharu berkemungkinan besar akan meningkatkan daya tarikan produk ini dalam pasaran gelap. Ketiga, dengan mengharamkan bukan sahaja rokok tetapi juga alternatif kepada rokok seperti vape dan rokok elektronik, kemungkinan produk ini muncul di pasaran gelap tanpa sebarang bentuk kawalan kualiti akan menjadi lebih tinggi. Generasi baharu, yang menjalankan pembelian hampir sepenuhnya dalam talian, akan mencari cara untuk mendapatkan produk yang belum teruji dan tidak terkawal ini yang mungkin tidak memenuhi piawaian kualiti malah boleh membahayakan.

Keempat, pelaksanaan undang-undang perlulah disulami dengan kesedaran yang ditanam dalam hati dan nurani komuniti tentang impak negatif rokok. Masyarakat perlu diberi kesedaran melalui pendidikan awal di peringkat rendah lagi. Intervensi KKM di peringkat sekolah perlu diperkasa lagi melalui program IMFree dan Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Inisiatif oleh KKM ini perlu disokong dengan baik oleh ibu bapa yang perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak. Hal ini kerana, selain daripada pengaruh rakan sebaya, ibu bapa yang merokok juga membawa pengaruh dan menjadi faktor anak-anak turut merokok.

Hasrat memperkenalkan dasar ini sememangnya wajar dipuji. Walau bagaimanapun, tergesa-gesa untuk melaksanakannya mungkin menyebabkan ia menjadi kegagalan dasar. Hasrat yang baik mesti sentiasa dilaksanakan dengan baik untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. Kita tidak mahu inisiatif selepas RUU ini diluluskan di Parlimen ibarat laksana mencari sungai yang tiada berhulu. Terdapat langkah-langkah yang perlu diambil untuk melengkapkan larangan itu, kerana matlamat utama masih untuk mengurangkan kadar merokok dan melindungi generasi akan datang.

Adalah bijak bagi KKM untuk mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan menentukan sasarannya dengan jelas daripada menetapkan sasaran yang mungkin kelihatan bagus di atas kertas tetapi tidak praktikal dan yang mungkin, pada akhirnya, menggagalkan objektif utama mengurangkan merokok di Malaysia. Tingkah laku pengguna sentiasa berubah, dan trend serta teknologi baharu akan muncul. Perkara yang kelihatan seperti langkah bijak hari ini mungkin menjadi masalah baharu esok.

Walaupun kita amat mengalu-alukan semua usaha oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk Generational End Game Anti Rokok ini, masih terdapat langkah lain yang mesti diambil untuk memastikan kejayaan secara keseluruhannya. Mencapai masyarakat bebas tembakau bukanlah tanggungjawab Kementerian Kesihatan semata-mata tetapi juga melibatkan usaha proaktif daripada semua pihak yang berkenaan demi memastikan peralihan yang lancar kepada masyarakat yang sihat dan bebas rokok.

Ahmad Firdaus Hadzir
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia