Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga siling minyak masak botol lima kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM34.70 bermula 8 Ogos ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan ini diputuskan menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani
Inflasi (PKJTI) yang berlangsung semalam.

Jelas beliau, mesyuarat berkenaan turut memutuskan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.

“Harga purata bulanan minyak sawit mentah (CPO) akan ditentukan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1hb tiap bulan diikuti dengan pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut yang akan berkuat kuasa pada setiap 8hb. sehingga 7hb. bulan berikutnya,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, berdasarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata CPO bagi Julai 2022 adalah RM4,603.

Menurut beliau, mekanisme di sebalik penetapan harga siling ini dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa CPO.

“Bagaimanapun, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama,” tambah beliau.

Sementara itu Alexander berkata, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk kemasan polibeg telah diwartakan pada Isnin yang lalu untuk mengelakkan kekeliruan demi meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan barangan kawalan serta subsidi. – MalaysiaGazette