Farid (kanan) bersama pegawai juruukur dalam kerja persempadanan dan pembersihan tanah rizab MMRP.

PEPATAH Melayu ada menyatakan, “Berjagung jagung dahulu sementara padi masak”. Itulah yang diamalkan oleh Pengetua Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di Kelantan, Pauzi Yusoff.

Sejak berpindah ke sekolah itu tahun 2018, beliau telah membuat beberapa perubahan, baik dari segi struktur bangunan sekolah dan tanah milik MMRP di sekitar.

Langkah pertama dilakukan ialah memohon peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengubah suai sebuah dewan kepada kelas.

Sekurang-kurangnya dengan adanya kelas baru itu dapat mengurangkan kepadatan pelajar dalam satu-satu kelas, sekali gus memberi keselesaan pembelajaran kepada anak muridnya.

Dengan peruntukan RM55,000, dewan itu kemudian diubahsuai menjadikan lima kelas baharu, iaitu satu keputusan terpuji oleh ibu bapa dengan sikap cakna Pauzi berkaitan ilmu.

Tidak cukup dengan itu, pada 2020, juga dengan peruntukan Jakim, sebuah kantin yang selesa siap diselenggara baru, selain menaiktaraf asrama, membaikpulih bumbung serta siling di tingkat tiga sekolah itu untuk dijadikan dewan.

Inilah langkah terpuji Pauzi, selain menitik beratkan pembelajaran, disiplin dan keselesaan tempat belajar, beliau juga seorang arkitek kepada halaman sekolah itu.

Melihat sebidang tanah rizab milik MMRP yang sudah bertukar menjadi hutan kerana terbiar sekian lama, tanpa berlengah, beliau mentransformasikan kawasan menjadi sebuah tanah lapang saujana mata memandang.

Kegunaan tanah rizab seluas dua ekar itu akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti untuk apakah yang sesuai diusahakan dengan perkara yang boleh memberi faedah kepada sekolah.

Menurut Setiausaha Pembangunan MMRP, Farid Mohd Noor, kerja melapangkan tanah rizab mengambil masa empat hari kerana sudah ditumbuhi pokok besar.

Katanya, sejak Pengetua Pauzi mengurus tadbir MMRP, sebanyak sembilan perubahan telah dilakukannya.

“Kerja persempadanan semula juga dilakukan ke atas tanah ini oleh Juruukur Pasir Mas.

“Selepas ini, pihak sekolah mengadakan mesyuarat dan membincangkan apa yang patut dibuat dan kita tak akan membiarkan tanah ini terbiar lagi, sebaliknya memikirkan sesuatu yang boleh menyumbang kepada ekonomi sekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Hassan Setapa yang ditemui berkata, sebelum berpindah ke Kampung Gual Tok Deh, tanah itu dijadikan kandang lembu dan kambing biri-biri olehnya.

“Tanah ini saya jadikan kandang lembu memandangkan ia terbiar entah sejak puluhan tahun,” katanya yang turut memuji langkah perubahan dilakukan Pengetua Pauzi.

Abd. Ghaffar Daud

Penulis, Abd. Ghaffar Daud adalah Pembantu Operasi MMRP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast