KUANTAN – Remaja berusia 15 tahun merupakan antara 419 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas di seluruh negeri Pahang bermula 27 Julai lalu.

Dalam operasi yang diadakan selama tiga hari itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 32 orang pengedar dan tokan dadah turut ditangkap.

“Sebanyak 302.97 gram dadah jenis heroin, 68.31 gram pil Yaba, 43.12 gram dadah jenis syabu dan 0.78 gram pil Erimin 5 turut dirampas termasuk 103.65 liter air ketum yang keseluruhan bernilai RM21,000,” katanya dalam Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

Tambah Ramli, 18 daripada 32 tokan terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan manakala 14 yang lain akan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang boleh dihukum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Selain itu, seramai enam orang telah diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas, manakala 17 orang wanted person juga berjaya ditangkap dalam operasi tersebut,” katanya.

Menurut Ramli, seramai 34 orang penagih tegar atau penagih berulang turut ditangkap dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh negeri itu.

“Polis Pahang akan terus meningkatkan pertuduhan di bawah seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman yang tinggi kepada penagih tegar dalam usaha membasmi masalah dadah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti sebanyak 32 sarang pengedaran dadah dalam kawasan sawit Felda di hampir kesemua 11 daerah seluruh negeri Pahang yang masih beroperasi secara aktif.

“Ia melibatkan masing-masing lima kawasan di Kuantan, Temerloh dan Rompin; empat di Bera dan Lipis; tiga di Pekan; dua di Bentong; satu kawasan di Raub, Jerantut dan Maran,” tambahnya.

Dalam operasi tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan Jabatan Siasatan Perundangan Trafik (JSPT) IPK Pahang dalam beberapa siri sekatan jalan raya (SJR).

Menurut Ramli, sebanyak 183 notis saman JPJ dan 114 saman polis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit.- MalaysiaGazette