Roszita Che At, 39 (kanan) bersama Mahani Saad, 51 (dua kanan) dan Khatijah Abdullah, 65 (tiga kanan) menapis emping pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak bercadang untuk mengajurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 luar daripada Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, cadangan untuk menganjurkan pameran itu di luar MAEPS adalah amat baik namun ia melibatkan kos dan struktur logistik.

“Sejak 2003, MAHA ditempatkan di satu tapak kekal di MAEPS kerana beberapa faktor, antaranya infrastruktur yang dibina itu digunakan semula untuk penganjuran MAHA selepas dua tahun kemudian.

“Rumah-rumah negeri yang ada sekarang ini malah pavilion yang didirikan oleh jabatan dan agensi masih digunakan sehingga kini, tapi dari segi kos dan penjimatan dan sebagainya perlu diambil perhatian.

“Keputusan untuk meletakkan penganjuran MAHA ini di satu tapak yang kekal adalah merupakan satu keputusan yang tepat,” katanya ketika menjawab di sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang mencadangkan MAHA dianjurkan di Sabah dan Sarawak.

MAHA 2022 yang akan berlangsung pada 4 sehingga 14 Ogos ini dijangka menarik 100,000 pengunjung setiap hari.

Ronald sebelum ini berkata, program yang akan diadakan di MAEPS itu menyediakan 1,500 ruang pameran dan jualan termasuk 100 lot jualan Farmers Market yang menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan.

Selain itu, terdapat juga seminar dan konvensyen agromakanan, pengoperasian laman dan rumah negeri serta pameran makanan popular di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast