Ayman al-Zawahiri. Foto Al Jazeera

WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya yang melancong ke luar negara tentang kemungkinan tindakan balas oleh al-Qaeda dan penyokongnya selepas pemimpin organisasi itu terbunuh dalam serangan peluru berpandu.

Dalam amaran terbaharu seluruh dunia, jabatan itu berkata, a percaya “terdapat potensi lebih tinggi untuk keganasan anti-Amerika susulan kematian Ayman al-Zawahiri pada 31 Julai 2022.”

“Maklumat semasa menunjukkan organisasi pengganas terus merancang serangan terhadap kepentingan AS di pelbagai wilayah di seluruh dunia.

“Memandangkan serangan pengganas sering berlaku tanpa amaran, warga AS amat digalakkan untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi dan mengamalkan kesedaran situasi yang baik apabila melancong ke luar negara,” tambah jabatan itu.

Zawahiri terbunuh Ahad di Kabul, Afghanistan ketika dia melangkah keluar ke balkoni kediamannya, ditembak oleh dron peluru berpandu Hellfire, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran.

Operasi AS itu melibatkan beberapa bulan kerja risikan untuk mengesan keluarganya ke Kabul dan mengenal pasti sasaran, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.

“Misi ini benar-benar terbentuk dalam tempoh enam, tujuh bulan yang lalu. Ia awal tahun ini selepas kami mendapat petunjuk Zawahiri telah berpindah ke Afghanistan,” kata Kirby kepada CNN pada hari Selasa.

Zawahiri, 71, kelahiran Mesir, menguasai al-Qaeda selepas Osama bin Laden, pengasas pertubuhan pengganas itu, dibunuh sendiri oleh tentera Amerika di Pakistan pada 2011.

Presiden AS Joe Biden, dalam ucapan pada Isnin malam di White House menggambarkan Zawahiri sebagai perancang penting dalam serangan 9/11 ke atas AS dan “dalang” di sebalik pelbagai serangan terhadap rakyat Amerika, termasuk pengeboman kedutaan AS pada 199. di Kenya dan Tanzania dan USS Cole pada tahun 2000. – Bloomberg