KUALA LUMPUR – Akademi Wira Muda (AWM) membuktikan produk pelatihnya semakin cemerlang apabila mengungguli dua daripada tiga kategori di final Kejohanan Piala Timbalan Menteri Alam Sekitar Dan Air baru-baru ini.
Kejohanan yang berlangsung selama sehari itu menyaksikan AWM muncul juara kategori bawah lapan dan 10 tahun manakala bawah 12 tahun menjadi Darul Aman FC.
Johan setiap kategori membawa pulang piala, medal dan wang tunai RM1,000.
Pengasas AWM, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, pihaknya gembira kerana kejayaan itu membuktikan hasil kerja keras jurulatih dan pemain untuk berlatih pagi dan petang yang akhirnya membuahkan hasil.
“AWM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada waris dan ibu bapa yang menunjukkan komitmen tinggi dengan menghantar anak-ana berlatih bagi menghadapi persediaan kejohanan.
“Selepas ini kami akan membuat persediaan bagi kejohanan pada Oktober ini yang melibatkan kategori, tujuh, sembilan dan 11 tahun di mana kehadiran AWM pastikan akan dinantikan pasukan lawan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kejohanan yang diadakan di di Institut Latihan Kecemerlangan Mara di Jawi, Pulau Pinang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman yang juga Ahli Parlimen Nibol yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Sementara itu, sebanyak 60 pasukan menyertai Kejohanan Piala Timbalan Menteri Alam Sekitar Dan Air dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara akademi bola sepak lain di Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara.
“Matlamat kejohanan ini adalah sebagai platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili Pulau Pinang dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” kata Shaik Awish yang juga penganjur kejohanan itu.
Sementara itu, Akademi Wira Muda yang ditubuhkan pada Oktober 2018 pada awalnya hanya memiliki jumlah pelatih hanya 80 orang namun ia bertambah secara mendadak melebihi 200 orang sehingga kini.
Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.
Akademi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang turut mendapat sokongan Mansor sebagai tanda prihatin dengan menyalurkan peruntukan wang tunai untuk membeli peralatan sukan.
Sehingga kini, beberapa pelatih AWM telah dipilih menyertai Akademi Mokhtar dan Akademi JDT. – MalaysiaGazette