Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Kes Covid-19 di negara ini masih terkawal biarpun kes jangkitan masih sekitar antara 3,000 hingga 4,000 sehari.

Ini kerana, kes kematian masih belum meningkat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Saya boleh katakan walaupun kes meningkat dan penularannya meningkat tapi tahap serius masih jauh lebih baik daripada varian Delta,” katanya menjawab pertanyaan lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Meskipun begitu, Noor Azmi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih bersiapsiaga di hospital bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Angka kematian masih kekal satu digit, ada satu hari 10 kematian dan kami sentiasa mengikuti perkembangan ini kerana bimbang kes meningkat hari ini.

“Varian BA.4 dan B.A4.1 dan BA.5 mempunyai persamaan dari segi penularan dan ketinggian penularan tetapi tidak ada data melibatkan ia lebih serius” katanya lagi.

Menurut data di laman sesawang CovidNow, sejumlah 4,204 kes positif Covid-19 direkodkan semalam berbanding 3,213 kes pada Isnin.

Kes baharu itu membabitkan 4,201 kes penularan tempatan dan tiga kes import.

Sebanyak lapan kematian dilaporkan semalam, termasuk dua kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), berbanding sembilan kematian kelmarin. – MalaysiaGazette