MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan memanggil 23 orang guru yang mengalami tekanan dalam tempoh terdekat bagi melalui proses memulihkan semangat mereka.
Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya sudah pun mengenal pasti semua guru terlibat.
“Seperti yang diminta oleh Ketua Menteri, pihak jabatan memang telah kenal pasti mereka ini (23 guru) yang akan kita panggil dan dalam masa sama akan melalui proses tertentu.
“Kita tak boleh dedahkan kepada masyarat apa masalah dan sebagainya tapi dipihak JPN saya harap apa yang dilakukan itu mestilah membantu para guru terlibat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri Melaka Piala Exco Pendidikan di Dewan Komuniti Sukan Krubong, di sini hari ini.
Pada 27 Julai lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengarahkan JPN menyiasat punca 648 daripada 13,976 guru di negeri ini yang menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat.
Beliau yang memandang serius laporan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu laporan lengkap berhubung perkara itu dibentangkan kepadanya sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang membentangkan laporan berkenaan berkata, dapatan itu diperoleh selepas mereka menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.
Daripada jumlah disaring, 23 atau 3.54 peratus guru berada pada tahap stres dan 28 (4.32%) lagi di tahap kemurungan.
Mengulas lanjut, Rais berkata, bagi memastikan semua guru terlibat dibantu, beliau sendiri akan memantau rapat pelaksanaannya.
“Insya-Allah, saya sendiri akan memantau apakah statusnya dan saya amat berharap tekanan yang dihadapi para guru-guru ini dapat dikurangkan segera,” katanya. – MalaysiaGazette.
















