Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berjasa menyumbang kepada keamanan dan kedaulatan negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami, sebagai wakil rakyat yang amat terhutang budi dengan golongan ATM, beliau hanya mampu bersuara bagi memastikan sesuatu  dilakukan bagi memastikan kehidupan mereka terjaga.

“Sudah banyak kali saya suarakan di Parlimen, di luar juga saya berterusan menggesa. Pada saya, golongan ini tidak sepatutnya tampil untuk menuntut untuk hak mereka sebaliknya kerajaan sudah sedia maklum dan melakukan yang terbaik.

“Saya mohon Kementerian atau Menteri Pertahanan untuk lihat perkara ini sebagai isu politik sebaliknya usahlah abaikan suara golongan veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara kita.

“Semalam saya telah membahas Rang Undang Undang (RUU) Tabung ATM (Pindaan) 2022. Walaupun Akta LTAT khusus untuk anggota ATM yang sedang berkhidmat, LTAT tidak boleh lepas tangan dalam menjaga hal ehwal kebajikan veteran.

“Untuk makluman semua, jumlah veteran ATM adalah lebih kurang 350,000. Kebanyakkan mereka tidak berpencen dan mengalami masalah kewangan. Amat penting untuk LTAT jaga kebajikan angota veteran ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Karupaiya lagi, baru-baru ini, kemarahan tentera terhadap kerajaan jelas terlihat apabila Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) didakwa lambat dalam menyalurkan wang dividen kepada anggota tentera.

“Punca utama kepada masalah ini adalah kelemahan pengurusan oleh LTAT. Saya lihat pindaan ini dibuat hasil konflik yang berlaku sebelum ini. Jangan ini hanya langkah populis dalam menangani isu sebenar.

“Kita sedia maklum bahawa duit caruman dalam tabung angkatan tentera akan digunakan dalam pelbagai pelaburan dan dari situ pencarum mendapat duit dividen mereka. Saya setuju apa-apa perkara yang mampu membantu pencarum tetapi bukan langkah populis yang hanya dilihat cantik diluar.

“Tetapi ingat juga, rakyat juga ternanti-nanti dengan penjelasan Kementerian adalah mengenai pelaburan yang akan dibuat oleh LTAT. Contoh skandal projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang telah menyebabkan negara kehilangan hampir RM 1 Billion itu,” tegasnya.

Kata Karupaiya lagi, dirinya berdiri teguh dalam melindungi hak rakyat dengan bersuara selantang mungkin agar setiap polisi atau langkah yang dibuat oleh kerajaan akan memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette