Nancy Pelosi ketika tiba di Taiwan. Foto Reuters

BEIJING – China menyifatkan lawatan penting Speaker Amerika Syarikat, Nancy Pelosi sebagai “sangat berbahaya”.

Beijing mendakwa Pelosi, ahli politik AS paling kanan dalam tempoh 25 tahun melawat pulau yang didakwa China sebagai miliknya sebagai “bermain dengan api”.

“Mereka yang bermain dengan api akan binasa olehnya,” amaran Beijing yang dikeluarkan dalam satu kenyataan.

Jurucakap keselamatan negara AS, John Kirby berkata “tiada sebab untuk lawatan ini menjadi peristiwa yang mendorong kepada krisis atau konflik”.

Bercakap selepas ketibaannya, Pelosi berkata, lawatannya itu konsisten dengan dasar AS yang telah lama wujud terhadap China dan tidak melanggar kedaulatan negara.

Ketika pesawat membawa Pelosi mendarat, media negara China melaporkan jet tenteranya telah melintasi selat Taiwan.

Namun Taiwan menafikan laporan itu – tetapi kemudian berkata lebih daripada 20 pesawat tentera China telah memasuki zon pertahanan udaranya pada hari Selasa.

China melihat Taiwan sebagai wilayah yang memisahkan dengannya, sebelum ini memberi amaran bahawa angkatan tenteranya “tidak akan berdiam diri”.

Dalam masa sejam selepas ketibaan pesawat Pelosi, China mengumumkan akan melakukan beberapa siri latihan ketenteraan secara langsung di udara dan di laut sekitar Taiwan akhir minggu ini – memberi amaran kepada kapal dan pesawat agar tidak memasuki kawasan yang terjejas.

Ia berikutan beberapa hari ketegangan yang semakin memuncak menjelang lawatan Pelosi, yang mana pesawat pejuang China telah pun keluar sehingga ke garisan tengah, garis pemisah tidak rasmi yang memisahkan China dan Taiwan di perairan antara kedua negara.

Terdahulu, Pelosi berkata, lawatannya menghormati “komitmen tidak berbelah bahagi AS untuk menyokong demokrasi Taiwan yang bersemangat” dan tidak bercanggah dengan dasar AS.

Dalam kenyataannya, Pelosi berkata: “Perpaduan Amerika dengan 23 juta penduduk Taiwan adalah lebih penting hari ini berbanding sebelum ini kerana dunia menghadapi pilihan antara autokrasi dan demokrasi.”

Dan dalam artikel yang diterbitkan dalam akhbar Washington Post pada masa yang sama, Pelosi juga menulis bahawa “demokrasi teguh Taiwan… berada di bawah ancaman”.

“Dalam menghadapi pencerobohan Parti Komunis China (PKC) yang semakin pesat, lawatan delegasi kongres kita harus dilihat sebagai kenyataan tegas bahawa Amerika berdiri bersama Taiwan, rakan demokratik kita kerana ia mempertahankan dirinya dan kebebasannya,” katanya.

Walaupun lawatan Pelosi telah menjadi subjek spekulasi antarabangsa yang besar selama beberapa hari, ia telah diselubungi kerahsiaan sehingga saat-saat akhir.

Apabila dia memulakan lawatan ke Asia pada hari Ahad, tidak ada menyebut tentang Taiwan dalam jadual perjalanan rasminya, termasuk Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun.

White House telah terbuka dalam penentangannya terhadap sebarang perjalanan sedemikian dan Presiden Joe Biden berkata, pihak tentera menilai ia sebagai “bukan idea yang baik”.

Tetapi selepas Pelosi selamat tiba, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby memberitahu CNN lawatan ini serupa dengan lawatan sebelumnya oleh pegawai lain.

“Tiada sebab untuk perkara ini meletus menjadi konflik. Tiada perubahan pada dasar kami. Ini benar-benar konsisten dengannya,” ujarnya.

Menjawab reaksi keras dari China, beliau berkata: “Amerika Syarikat tidak akan gentar dengan ancaman.”

China memberikan tekanan antarabangsa kepada negara lain untuk menerima prinsip “Satu China” – bahawa hanya terdapat satu negara China, yang berpusat di Beijing.

Hanya 15 negara di dunia yang mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan.

Dasar AS yang telah lama wujud ialah mengiktiraf Kerajaan Beijing, tetapi juga mengekalkan hubungan “tidak rasmi yang teguh” dengan Taiwan.

Ini termasuk menjual senjata untuk Taiwan mempertahankan diri.

Sebagai Speaker Dewan Perwakilan AS, Pelosi berada di barisan kedua untuk jawatan presiden AS selepas naib presiden.

Namun beliau juga merupakan pengkritik lama Beijing. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast