KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan pengauditan prestasi bernilai RM10.749 bilion dilaksanakan melibatkan program, aktiviti dan projek di lapan kementerian, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1.

Menurut LKAN itu, daripada jumlah pengauditan tersebut, lima daripadanya melibatkan kategori projek manakala empat lagi adalah kategori program dan aktiviti.

“Secara keseluruhannya, perlaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan. Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan keberhasilan yang ditetapkan tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai.

Hal ini kerana sasaran kuantitatif, mekanisme dan indikator tidak ditetapkan, serta data berkaitan tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” menurut laporan itu.

Susulan itu, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 33 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan, agensi Persekutuan yang diaudit.

Menurut LKAN, mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, pengauditan pengurusan dilaksanakan berfokus terhadap pencapaian objektif penubuhan syarikat dengan meneliti tiga aspek iaitu tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat.

Pengauditan terhadap pengurusan Syarikat Tujuan Khas (SPV) pula dilaksanakan bagi menilai prestasi aktiviti, amalan tadbir urus korporat dan pengurusan aktiviti SPV.

“Secara keseluruhannya, daripada tiga syarikat yang diaudit, didapati dua syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat; dua syarikat menunjukkan tahap amalan tadbir urus korporat yang memuaskan; dan satu syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Hasil pengauditan terhadap pengurusan syarikat SPV pula mendapati setakat 31 Disember 2021, lima SPV (20 peratus) telah berjaya mencapai fungsi khususnya, 18 SPV (72 peratus) sedang melaksanakan fungsi khususnya manakala dua SPV (8 peratus) telah berubah hala tuju fungsi khususnya,” menurut laporan itu.

Bagi membolehkan penambahbaikan terhadap perkara yang dilaporkan, Ketua Audit Negara mengemukakan 15 syor kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk diambil tindakan.

Mengenai aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat di peringkat negeri pula, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi terhadap 15 program, aktiviti dan projek melibatkan tiga kementerian di Sabah dan Sarawak.

Menurut laporan itu, 124 syor dikemukakan oleh Ketua Audit Negara melibatkan 62 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan, agensi negeri serta 62 syor oleh pengurusan syarikat kerajaan negeri yang berkenaan.

“Semua Pegawai Pengawal, Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Eksekutif yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan,” menurut laporan itu.

LKAN Tahun 2021 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan dan LKAN Tahun 2021 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 13 negeri hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing masing. – BERNAMA