KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperuntuk sejumlah RM520,000 tahun ini sebagai inisiatif membaik pulih pusat penjaja dan peniaga yang mengalami kerosakan.
Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin berkata, ia melibatkan baik pulih kerosakan struktur dan fasiliti termasuk menurap semula tapak yang didapati telah rosak atau tidak sempurna.
“Inisiatif yang diberikan ini, selain memberi keselesaan kepada peniaga dan penjaja, ia adalah untuk manfaat masyarakat umum,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Penyampaian Anugerah Penganjur & Peniaga Cemerlang Pasar Ramadan Lestari dan Pintar 2022 di Dewan Bandar Raya, Kompleks MBK hari ini.
Menurut Hamdan, antara kawasan peniaga dan penjaja yang terbabit menerima manfaat itu adalah di Sungai Isap, Jaya Gading, Taman Tas, Tanjung Lumpur dan Batu 3.
Pada majlis berkenaan, seramai 10 orang peniaga daripada keseluruhan 587 peniaga yang mengambil bahagian dalam penganjuran bazar Ramadan di sekitar bandar raya di sini tahun ini dinamakan sebagai peniaga cemerlang.
Selain itu, MBK turut menamakan dua penganjur bazar Ramadan sebagai penganjur cemerlang setelah melakukan proses penilaian yang melibatkan sebanyak 12 penganjur di 20 lokasi bazar ramadan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Hamdan berharap agar para peniaga dan penjaja dapat terus mengamalkan Konsep Lestari dan Pintar yang telah diterapkan sejak awal tahun supaya dapat kualiti dan standard dapat terus dijaga selain menjadi peniaga yang berdisiplin dan cemerlang.
“Harapan saya agar semua peniaga-peniaga di sekitar Kuantan berjaya melaksanakan Konsep Lestari dan Pintar sepenuhnya pada penghujung tahun ini,”katanya.- MalaysiaGazette